Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,725

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kerajaan Sabah Komited Tingkat Pendidikan Tinggi Negara

Universiti Malaysia Sabah

Universiti Malaysia Sabah

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri akan terus komited dan sentiasa memberi kerjasama dalam membantu segala usaha ke arah kemajuan dan peningkatan tahap pendidikan tinggi negara, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata sejak Universiti Malaysia Sabah (UMS) diwujudkan, pembangunan dan kemajuan negeri ini telah bergerak seiring terutama dalam menampung keperluan ekonomi dan sosial pelajar.

“Implikasi positifnya juga telah memberi nilai tambah dan peningkatan taraf hidup serta ekonomi masyarakat sekitarnya.

“Pendek kata, UMS telah menjana satu transformasi pembangunan pesat dalam tempoh yang sangat pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji seramai 4,579 mahasiswa baharu UMS bagi sesi 2016/2017 di Dewan Canselor universiti itu di sini hari ini.

Sambil mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua mahasiswa, Musa yang juga Pro Canselor UMS berpesan supaya mereka bersedia dengan keadaan baharu yang lebih mencabar.

“Paling penting adalah harus berdikari dalam mendapatkan ilmu kerana para pensyarah hanya membimbing dan membuka jalan. Apabila berada di menara gading, semua harus disiapsiagakan dan sentiasa bergerak pantas,” tambahnya.

Sementara itu, bersempena sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini, Ketua Menteri mengajak mahasiswa bersama-sama memelihara kemerdekaan, kedaulatan dan kemakmuran yang dikecapi negara selama ini.

“Syukuri nikmat ini sepenuhnya kerana siswa dan siswi yang ada ini merupakan generasi yang akan mewarisi dan meneruskan kesinambungan kestabilan, keamanan dan kesejahteraan Malaysia yang kita cintai,” katanya.

Musa berkata kesejahteraan dan kejayaan negara tidak datang dengan mudah kerana ia merupakan hasil pelaksanaan dasar dan program pembangunan kerajaan, penglibatan sektor swasta dan sokongan padu rakyat. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan