Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kerajaan Sabah Gantung Aktiviti Perniagaan Tukar Barang – Ketua Menteri

Jeti Pelabuhan Sandakan

Jeti Pelabuhan Sandakan

KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri Sabah menggantung semua aktiviti perniagaan tukar barang berkuat kuasa serta merta di semua pelabuhan di negeri ini sebagai langkah drastik untuk mengekang sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk penculikan.

Penggantungan itu merupakan satu daripada lapan keputusan dibuat Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet Negeri hari ini yang diumumkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berikutan insiden penculikan rakyat Malaysia di perairan Pulau Ligitan Jumaat lalu oleh kumpulan bersenjata dari selatan Filipina.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet Negeri itu, Musa berkata mesyuarat turut memutuskan menggantung serta merta semua aktiviti perniagaan secara ‘transhipment’ atau pemindahan ke kapal, termasuk perdagangan petroleum dan gas di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dan menangguhkan cadangan pelaksanaan perkhidmatan feri penumpang antara Kudat di Sabah dan Palawan di Filipina.

Katanya Kabinet juga memutuskan supaya semua perkara yang menyalahi peraturan dalam aktiviti pelayaran, perdagangan di laut dikuatkuasakan sepenuhnya mengikut perundangan oleh semua agensi penguatkuasaan di timur Sabah.

Dengan keputusan itu, katanya semua kapal, termasuk kapal luar, dan bot yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang serta mengancam keselamatan negara tidak akan dibenarkan memasuki perairan Sabah.

Musa berkata Kabinet juga memutuskan supaya konsep pelaksanaan perintah berkurung akan diubah suai serta berkuat kuasa sepenuhnya termasuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap sesiapa sahaja atau bot dan kapal yang melanggar arahan pihak berkuasa di Esszone.

“Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) juga sedang meneliti ancaman-ancaman keselamatan di sebalik penggunaan ‘pump boat’ di Sabah. Semua penggunaan pump boat akan diperiksa oleh pihak berkuasa dan mana-mana individu atau kumpulan bukan warganegara yang didapati menggunakan pump boat akan dirampas serta merta oleh pihak berkuasa,” katanya.

Katanya penelitian juga akan dibuat secara mendalam untuk melaksanakan tindakan pencegahan bagi kegiatan-kegiatan perampasan serta penculikan terhadap kapal-kapal perdagangan di perairan berisiko di pantai timur Sabah termasuk memberi perlindungan keselamatan oleh pihak berkuasa namun pelaksanaannya kelak perlukan kerjasama pemilik kapal serta penyelarasan berkesan.

Selain itu, beliau berkata tindakan agresif tanpa kompromi juga akan dijalankan serta merta untuk mengukuhkan keselamatan di timur Sabah oleh semua agensi mengikut kuasa dan perundangan semasa yang berkuasa.

“Inilah yang telah kita bincangkan tadi dalam Jemaah Menteri dan ini semua dipersetujui. Bagi kita, ini merupakan kaedah terbaru yang kita ambil kerana selama ini (ada pihak menganggap) seolah-olah kita tidak mengambil berat perkara ini.

“Apa sahaja yang masuk ke negara kita, kita akan ambil tindakan segera termasuk kepada pedagang sebab kita tidak tahu siapa pedagang sebenar atau mungkin orang yang tidak diingini datang secara haram ke perairan kita,” katanya.

Ketua Menteri berkata langkah itu diambil bagi menunjukkan betapa seriusnya kerajaan negeri dalam usaha menangani masalah dari segi keselamatan termasuk penculikan, dan menafikan tanggapan sesetengah pihak kononnya kerajaan negeri dan persekutuan tidak bersungguh-sungguh menangani masalah keselamatan di perairan Sabah.

Musa menegaskan kerajaan memandang serius soal keselamatan atas kesedaran bahawa ancaman itu bukan sahaja akan mendatangkan masalah kepada rakyat dan Sabah sahaja tetapi juga terhadap negara keseluruhannya.

“Kita juga minta kerajaan Filipina supaya mengambil berat mengenai perkara ini (penculikan rakyat negara ini oleh pihak tidak bertanggungjawab di Filipina).

“Perkara ini memberi kesusahan kepada negeri kita Sabah sehingga kita merasa tidak wujud keselamatan di negeri kita. JKKN mengambil langkah seperti ini untuk memberi isyarat kepada pihak sebelah sana (Filipina) bahawa kita amat serius dengan apa yang berlaku di negeri kita dan kegiatan pihak tidak bertanggungjawab dari negara jiran,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan