Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,728

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kerajaan Pusat Jamin Penurunan Kuasa Sarawak Dikembalikan

4:26pm 31/01/2016 Pak Roshan 119 views Mutakhir,Nasional
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan amanat di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di hadapan 15 ribu warga Bintulu di Dewan Suarah, Bintulu.- Foto Mohd Radzi Bujang

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan amanat di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di hadapan 15 ribu warga Bintulu di Dewan Suarah, Bintulu.- Foto Mohd Radzi Bujang

BINTULU – Kerajaan persekutuan memberi jaminan akan menyerahkan penurunan kuasa pentadbiran kepada kerajaan negeri Sarawak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, rundingan tersebut hanya melibatkan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) diketuai Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

“Saya tak ada hajat nak ambik hak Sarawak kalau ada kita ambik hak kita boleh serah balik,” katanya di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang dihadiri lebih 15,000 orang di sini Ahad.

Najib berkata, kerajaan persekutuan tidak akan mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak selain daripada dengan Ketua Menteri walaupun ada sesetengah pihak mendakwa berjuang demi kepentingan hak Sarawak.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 tahun ini, Najib berkata, pembinaan jambatan Batang Lupar di Sri Aman akan dijadikan sebahagian janji BN.

“Ia akan menjadi manifesto BN Sarawak untuk dilaksanakan nanti,” katanya.

“Pembiayaan dibiayai bersama kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan menyumbang 50 peratus peruntukan dan kerajaan negeri 50 peratus,” katanya sambil menambah kos projek tersebut belum dapat ditentukan lagi.

Najib berkata, projek jambatan Batang Lupar bakal meningkatkan tahap ekonomi penduduk perkampungan pesisiran pantai Sarawak.

“Kita ada perancangan besar untuk Sarawak, bukan setakat retorik politik, kita telah sampaikan dan akan terus sampaikan,” katanya sambil merujuk kepada janji untuk pembinaan projek lebuh raya Pan Borneo bernilai RM16 bilion yang kini sedang dalam proses pelaksanaan.

Beliau turut memberi jaminan akan menambah baik sekolah-sekolah uzur di pedalaman Sarawak dan memberi komitmen untuk memasukkan janji tersebut dalam manifesto BN juga.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata, kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan kerajaan pusat untuk pembinaan bersama jambatan Batang Lupar dan ini menjadikan jambatan terpanjang di Malaysia setelah siap nanti. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan