Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,650

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kerajaan prihatin dengan sekolah, badan keagamaan bukan Islam

Tawfiq bersama semua penerima sumbangan

Tawfiq bersama semua penerima sumbangan

TAWAU : Kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri ini sentiasa jelas dengan objektif untuk terus membantu sekolah jenis kebangsaan (SJK) dan badan keagamaan bukan Islam.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata,  pengiktirafan status sembilan buah sekolah menengah persendirian di negeri ini tidak menjadi isu, bahkan ramai pelajar dari sekolah-sekolah tersebut mendapat biasiswa dan bantuan pendidikan Kerajaan Negeri Sabah.
Menurutnya, kerajaan BN tidak sesekali kedekut dalam memberikan bantuan kepada SJK dan badan keagamaan bukan Islam demi perkembangan pendidikan dan agama bukan Islam di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Kerajaan Negeri Sabah di Dewan SJKC Yuk Chin di sini kelmarin.

Katanya, rakyat negeri ini terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, namun tetap saling menghormati dan bersefahaman, hidup aman dan damai sekali gus membolehkan kerajaan terus membangun negeri ini.

” Kita jangan terpengaruh dengan hasutan pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri dan jangan peduli hasutan untuk menutup sekolah aliran Cina yang dikeluarkan segelintir orang yang kurang modal politik,”katanya.

Mengulas lanjut,  beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Apas berkata, peruntukan tahunan tersebut bukan sahaja dapat meringankan beban menampung perbelanjaan program berkaitan pihak sekolah dan pusat ibadat di kawasan pedalaman, malah memastikan kemudahan infrastuktur yang baik dapat disediakan kepada masyarakat terlibat.

“Kita menyedari institusi pendidikan amat penting bagi melahirkan rakyat berilmu yang akan memacu pembangunan dan kemajuan negara sementara badan keagamaan memainkan peranan memupuk nilai murni dan positif dalam kalangan masyarakat,” tegasnya lagi.

Katanya, peruntukkan sebanyak RM14 juta pada tahun ini, jelas menunjukkan kerajaan BN tidak pernah meminggirkan mana-mana sekolah di negeri ini kerana menyedari pendidikan adalah nadi penting untuk membantu negeri ini mencorak landskap modal insan pada masa hadapan.

Beliau turut menekankan bahawa komitmen ini akan terus dilaksanakan oleh kerajaan BN demi memastikan semua sekolah di negeri ini dapat menikmati manfaat hasil daripada dasar pendidikan yang dibawa kerajaan.-Sayangsabah

 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan