Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KERAJAAN PIMPINAN WARISAN NAFI MEMPOLITIKKAN BATU SUMPAH KENINGAU

KENINGAU: Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah Loretto Sipin Padua menafikan dakwaan bahawa kerajaan negeri pimpinan Warisan telah mempolitikkan Batu Sumpah Keningau.

Beliau berkata tuduhan pembangkang yang mengaitkan kerajaan baharu dengan proses pemindahan Batu Sumpah Keningau adalah tidak berasas kerana pemindahan itu telah diluluskan oleh kerajaan yang terdahulu.

“Idea pemindahan ini telah dikemukakan kerajaan terdahulu dan peruntukkan untuk majlis tersebut telah diluluskan dan disampaikan sendiri oleh bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, yang mana ia turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) Negeri pada masa itu termasuklah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Tan Sri Joseph Kurup selain Pegawai Daerah Keningau.

Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah, Loretto Sipin Padua Jr. Gambar Fail SNT

“Adalah tidak adil untuk menuduh pemimpin-pemimpin kerajaan yang hadir pada upacara tersebut dengan pelbagai tuduhan kerana kehadiran kami hanyalah sebagai jemputan dan atas dasar menghormati upacara pemindahan Batu Sumpah yang begitu penting bagi masyarakat pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Isnin.

Loretto berkata, beliau tidak pasti kenapa Ahli Parlimen Keningau Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Ahli Dewan Undangan Negeri Bingkor, Robert Tawik dan juga Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan tidak hadir pada upacara bersejarah itu.

Beliau berkata, sebagai pemimpin di kawasan pedalaman dan pemimpin agung masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM), mereka sepatutnya datang kerana kehadiran mereka sangat penting.

“Kita sepatutnya mengenepikan pegangan politik masing-masing dan bersama-sama menyaksikan pemindahan Batu Sumpah yang menjadi pegangan masyarakat pedalaman selama ini.

“Malah, ramai pemimpin masyarakat yang hadir termasuklah waris-waris mendiang Datuk Seri Panglima Sedomon Gunsanad bagi menyaksikan upacara tersebut,” jelasnya.

Loretto juga menyarankan penganjur upacara tersebut supaya tampil memberi penjelasan agar tidak ada lagi isu yang boleh dimainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kelmarin, Sabah News Today telah mendapatkan penjelasan daripada Ketua Daerah Keningau OKK Amir Arif terutama mengenai dakwaan Dr Jeffrey, beliau tidak dijemput menghadiri upacara tersebut.

Amir berkata, menurut pihak muzium yang dipertanggungjawab untuk melaksanakan pemindahan dan penjagaan Batu Sumpah tersebut menyatakan mereka berpegang dengan dasar kerajaan ‘Government Of The Day’.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan