Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KERAJAAN PH AMBIL MASA ‘PERBAIKI’ MASALAH KERAJAAN TERDAHULU:WAN AZIZAH

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Sabah di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui sukar untuk menyelesaikan masalah negara yang ditimbulkan oleh kerajaan terdahulu, dalam tempoh masa yang singkat.

Bagaimanapun, Presiden PKR itu gembira kerana rakyat dapat bersabar dan memahami cabaran yang terpaksa dihadapi oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam menangani setiap permasalahan negara sejak pentadbiran terdahulu.

“Tempoh 60 tahun itu memang sukar untuk kita hendak tangani masalah (kerajaan BN), tetapi saya berterima kasih kepada rakyat kerana telah bersabar walaupun banyak kritikan (terhadap kerajaan kini), rakyat masih menyokong kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) PKR Sabah di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew bersama sebahagian perwakilan daripada 25 cabang PKR seluruh Sabah pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Sabah di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Mesyuarat itu dihadiri lebih 1,000 perwakilan daripada 25 cabang PKR seluruh Sabah.

Ditanya mengenai pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuatkuasa semalam, Wan Azizah berkata, kerajaan PH yakin pelaksanaan cukai itu yang menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) itu diterima baik oleh rakyat.

Beliau menjelaskan, kerajaan mengambil langkah untuk menguatkuasakan SST bagi menggantikan GST bertujuan bagi mengutip dana untuk memajukan negara.

“GST telah memberikan percukaian di semua peringkat (barangan dan perkhidmatan). Tetapi apabila GST dihapuskan, kerajaan tidak dapat dana. Jemaah menteri hendak melaksanakan SST sekurang-kurangnya untuk mengutip dana untuk kerajaan memajukan negara,” jelasnya.

Wan Azizah mengakui, hasil kutipan dana kerajaan daripada SST agak kurang berbanding GST, namun dalam masa sama beliau lega kerana rakyat tidak terus dibebani dengan bayaran cukai.

Sebahagian perwakilan daripada 25 cabang PKR seluruh Sabah pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Sabah di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Dalam pada itu, beliau berharap rakyat memahami dan memberikan masa kepada kerajaan PH untuk melaksanakan SST dan memanfaatkan hotline yang disediakan untuk menyemak dan membuat aduan salah guna SST.

Terdahulu dalam ucapannya, Wan Azizah, meminta anggota PKR Sabah memberi sokongan penuh kepada suami beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila secara rasmi memegang tugas sebagai presiden baharu PKR. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan