Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,746

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kerajaan peruntukkan RM466.88 juta bagi pembangunan sektor pertanian

5:28pm 18/11/2016 Leolerry Lajius 43 views Kota Kinabalu,Tempatan,YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman

KOTA KINABALU: Di bawah Bajet 2017, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM466.88 juta bagi menyokong dan mempergiatkan pembangunan sektor pertanian yang merupakan salah satu sektor halatuju dan penjana utama ekonomi negeri.

Bagi memantapkan lagi sub-sektor tanaman, Kerajaan akan memfokuskan kepada pembangunan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan dengan menumpukan kepada pelaksanaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Dalam tahun 2017, sebuah TKPM diluluskan di Stesyen Pertanian Sedul, Ranau dengan keluasan 40 hektar khusus untuk pembangunan tanaman Durian Musang King.

Ketua Menteri Sabah datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata, setakat ini, sebanyak dua buah TKPM telah dilaksanakan dan dijangka siap pada bulan April 2017  iaitu TKPM Pusat Latihan Bersepadu (IATC) Putatan dan TKPM Masilou Kundasang dan kerajaan juga sedang mengenalpasti lokasi TKPM baru untuk dibangunkan di bahagian Pedalaman iaitu di daerah Sook, Keningau.

Musa turut menyatakan, menyedari bahawa tanaman padi adalah merupakan tanaman strategik, maka kawasan penanaman padi seluas 33.53 ribu hektar dengan purata pengeluaran hasil padi sebanyak 4.2 tan per hektar akan dikekalkan.

“Bagi menyokong pembangunan kawasan jelapang padi di negeri Sabah, Kerajaan akan melaksanakan program pembangunan dan menaiktaraf infrastruktur pengairan dan saliran bernilai RM8.05 juta di daerah Kota Belud, Tambunan, Beluran dan Kota Marudu yang aktif dengan aktiviti penanaman padi,” katanya ketika membentangkan Bajet 2017 Negeri Sabah di Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.

Tambah beliau, pada tahun 2017 juga, aktiviti berkaitan dengan penyelidikan di bawah Jabatan Pertanian akan terus menumpukan kepada pembangunan tanaman makanan bernilai komersial dan mempunyai permintaan tinggi dari dalam dan luar negeri seperti Kelapa Matag, Kelapa Tacunan, Nanas MD2, Pisang Sabah dan Durian.

“Oleh yang demikian, sebanyak RM141.92 juta diperuntukkan dalam bajet 2017 bagi mempertingkatkan aktiviti berkaitan sub-sektor tanaman makanan ini,”katanya.

Bagi sub-sektor perikanan pula, sebanyak RM10.38 juta diperuntukkan bagi meningkatkan pengeluaran ikan dan hasil perikanan untuk mencapai sasaran 423.3 ribu tan metrik setahun.

Menurut Musa lagi, bagi sub-sektor ternakan sekitar RM4.1 juta akan disediakan bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti kuarantin, pengembangan, “mobile veterinary clinic”, pusat-pusat penyembelihan, perkhidmatan klinikal dan diagnostik serta program kepastian kualiti dan sebuah makmal diagnosis veterinar juga akan dibangunkan pada tahun 2017.

“Dengan wujudnya dua perundangan baharu iaitu Enakmen Haiwan 2015 dan Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak akan diperuntukkan sebanyak RM500,000 pada tahun 2017 untuk memartabatkan penguatkuasaan bagi memastikan status kesihatan ternakan dan manusia terhindar daripada penyakit berjangkit dan zoonotik,”katanya.

Kerajaan Negeri juga akan memberi tumpuan kepada pengeluaran input-input makanan untuk ternakan ruminan dengan memperuntukkan sekitar RM1.6 juta bagi membiayai aktiviti pengeluaran baja makanan, pengeluaran dan penyelidikan kekacang, silaj dan lain-lain untuk kegunaan pemakanan ternakan.

“Kerajaan juga akan membangunkan satu ‘nucleus herd’ kerbau dengan peruntukan awalan sebanyak RM300,000 pada tahun hadapan.”

“Selain daripada itu, kerajaan juga akan memperkenalkan penternakan kambing tenusu pada tahun hadapan bagi menjana ‘disposable income’ melalui penjualan susu di samping mengeluarkan daging kambing dalam jangka masa panjang,”katanya.-Oleh Leolerry Lajius/Sayang Sabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan