Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kerajaan Persekutuan tidak abaikan Sabah – TPM

DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersalaman dengan orang ramai ketika hadir di Majlis Himpunan Merdeka Rakyat dan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tawau di Kompleks Sukan Tawau. – Foto Malai Rosmah Tuah

 

TAWAU: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Kerajaan Persekutuan konsisten dalam komitmennya untuk membangunkan Sabah supaya setanding dengan pembangunan di Semenanjung.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan komitmen itu disuarakan sejak Pakatan Harapan (PH) masih sebagai pembangkang dan ia akan diteruskan apabila isu berkaitan kewangan negara dapat ditangani.

Beliau berkata, ketika inilah peluang untuk mengubah keadaan yang dihadapi rakyat negeri ini supaya dapat sama-sama mengecapi pembangunan yang setanding dengan Semenanjung.

“Kami memang pastikan perkara ini (pembangunan di Sabah), malah dari dulu lagi apabila kami dalam Parlimen mengatakan Sabah mesti membangun bersama dengan Semenanjung.

“Kenapa diabaikan Sabah, bukan kita (pembangkang ketika itu) tidak pernah menegur, memang kita menegur dari dulu lagi. (Lebuhraya) Pan Borneo bila nak siap? Sebab itu kita katakan inilah peluang dan masanya kita menunaikan janji kemenangan kepada rakyat di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Himpunan Merdeka Rakyat dan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tawau, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew; kedua-dua Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Kenny Chua dan Sharifuddin Hatta serta Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman.

Ia adalah lawatan pertama Dr Wan Azizah ke Sabah selepas dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Dr Wan Azizah berkata, rakyat Sabah bagaimanapun perlu bersabar kerana kerajaan ketika ini berdepan masalah kewangan, namun ia bukan alasan untuk melengahkan program pembangunan di negeri ini.

Terdahulu, Sharifuddin yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyuarakan harapannya agar Dr Wan Azizah kembali lagi melawat negeri ini khususnya ke Tawau dan Kalabakan bagi melihat sendiri isu pembangunan terutama berkaitan jalan perhubungan.

Sementara itu, kira-kira 5,000 tetamu hadir pada majlis itu yang diadakan di Kompleks Sukan Tawau, di sini yang bermula jam 3 petang hingga jam 6.30 petang tadi.

Christina yang juga Ahli Parlimen Tawau dan penaung penganjur majlis berkenaan, berkata kehadiran masyarakat pelbagai kaum pada majlis berkenaan sangat bermakna sejajar dengan perubahan kerajaan di peringkat negeri dan Pusat.

“Majlis Himpunan Merdeka Rakyat Dan Sambutan Aidilfitri ini juga adalah sebagai tanda rasa syukur dan penghargaan kepada penduduk dalam kawasan Parlimen Tawau yang telah memberi mandat kepada PKR, DAP dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) sehingga membolehkan kita menubuhkan kerajaan,” katanya.

Sempena lawatan singkatnya ke Sabah, Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR dan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga turut menyampaikan sumbangan kepada warga tua dari rumah kebajikan Air Panas, di sini selain merasmikan pejabat PKR Tawau.- Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah dan Abdul Rahemang Taiming/BH Online

DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerima cenderahati daripada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew (tiga dari kiri) ketika hadir di Majlis Himpunan Merdeka Rakyat dan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tawau di Kompleks Sukan Tawau. – Foto Malai Rosmah Tuah

Komen


Berita Berkaitan