Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kerajaan perlu tangani kos sara hidup meningkat

 Ir Shahelmey (barisan kedua, sembilan dari kiri) bersama kepimpinan dan perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Putatan menyokong penuh kepimpinan Presiden UMNO dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.
Ir Shahelmey (barisan kedua, sembilan dari kiri) bersama kepimpinan dan perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Putatan menyokong penuh kepimpinan Presiden UMNO dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

PUTATAN: Pergerakan Pemuda  UMNO Bahagian Putatan mahu kerajaan segera menangani cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa kini.

Sehubungan itu, pergerakan itu mencadangkan agar kadar cukai pendapatan individu tidak dikenakan sehingga ke paras gaji RM5,000 sebulan.

Ketuanya, Ir. Shahelmey Yahya berkata ini bertujuan memberi kecairan tunai kepada individu terbabit dalam menyara kehidupan seharian mereka.

“Justeru, kita mahu agar lebih banyak kemudahan berupa proses kewangan dan pembiayaan rumah pertama kepada golongan muda”, katanya.

Beliau berkata gesaan itu merupakan antara usul ekonomi yang telah dibentang olehnya dan telah diluluskan sebulat suara dalam Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putatan  yang berlangsung di Dewan Rakan Muda Kompleks Belia dan Sukan (Persekutuan),malam tadi.

Katanya, bagi usul agama dan pendidikan, Pemuda UMNO Putatan mencadangkan agar mata pelajaran agama Islam di sekolah-sekolah memasukkan tafsir Al-Quran sebagai modul pembelajaran.

“Kita yakin pemahaman isi Al-Quran akan membentuk individu-individu yang berilmu, berakhlak mulia dan berjaya”, tambahnya.

Menurut Shahelmey, pergerakan itu juga mencadangkan kepada kerajaan khususnya Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang sedia ada memberi kuota tambahan kemasukan (akses) kepada pelajar-pelajar dari keluarga miskin dan luar bandar.

Menurutnya, ini penting kerana dalam kepesatat kemajuan negara, kita juga mahu melihat anak-anak dari keluarga miskin dan luar bandar tidak ketinggalan dalam menikmati pengajian tinggi (peringkat diploma dan ke atas) agar mereka dapat mengubah masa depan ke arah yang lebih baik.

Menyentuh usul politik, Pemuda Putatan melahirkan kerisauan terhadap proses perundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang dijangka akan dimuktamatkan pada bulan November tahun ini.

“Kami meminta pihak kerajaan yang terlibat dalam rundingan tersebut memaklumkan dan menjelaskan kepada rakyat tentang intipati perundingan tersebut, sebelum keputusan akhir dibuat.

“Kepentingan hak Bumiputera dan kos sara hidup rakyat negara ini mesti menjadi perkara paling utama diambil kira dalam apa juga perundingan perdagangan yang melibatkan luar negara seperti TPPA”, tegasnya.

Pemuda UMNO Putatan turut menyokong padu  kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd.Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO dan keputusan rombakan kabinet persekutuan yang dibuatnya.

“Kita penghormati dan memahani itu adalah hak Perdana Menteri untuk berbuat demikian. Justeru, kita meneruskan budaya disiplin dalam parti dan terus menyokong kepimpinan yang ada sama ada di peringkat UMNO Pusat dan juga UMNO Negeri Sabah yang diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman”, tegasnya.

Turut hadir ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort, Shahron @ Omar Haji Osin selaku wakil  Pergerakan Pemuda UMNO Negeri ke mesyuarat perwakilan itu.-Sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan