Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

‘Kerajaan perlu lebih masa tunai janji’

TUN Dr Mahathir Mohamad beramah mesra dengan orang ramai ketika hadir pada majlis berbuka puasa di Masjid Al -Hana, Kuah. – Foto Amran Hamid

 

LANGKAWI: Perdana Menteri berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) semalam mengakui memerlukan lebih masa untuk menunaikan semua janji dalam tempoh 100 hari selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini kerana kerajaan memerlukan lebih masa untuk melaksanakan semua janji itu disebabkan kerosakan yang berlaku kepada negara.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi, tidak menyatakan secara jelas kerosakan dimaksudkan itu, tetapi difahamkan ia merujuk kepada hutang negara.

“Pada kempen (PRU-14) yang lalu, kita (PH) berjanji memberi kehidupan lebih baik kepada rakyat.

“Tetapi, semua janji itu dibuat disebabkan tidak ada maklumat mencukupi.. Kita tidak tahu tahap kerosakan negara.

“Justeru, kita terpaksa mengaku mungkin kita terpaksa ambil masa lebih daripada 100 hari untuk selesaikan semua janji dan saya harap rakyat faham bukan senang mentadbir negara dalam keadaan sekarang,” katanya berucap pada majlis berbuka puasa di Masjid Al Hana di Kuah, di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan isteri, Tok Puan Norzieta Zakaria serta Pengarah Eksekutif BR Group, Datuk Arshad Desa.

Dr Mahathir juga turut meminta rakyat Malaysia kembali bersatu selepas selesai proses PRU-14.

Sambil melahirkan kesyukuran kerana proses peralihan kuasa di peringkat kerajaan berjalan lancar tanpa sebarang kekacauan dan pertumpahan darah, Dr Mahathir berkata, perbezaan fahaman politik tidak perlu terbawa-bawa sehingga wujud perpecahan dalam kalangan masyarakat, khususnya di bulan Ramadan ini.

“Kita perlu bersyukur dengan nikmat keamanan ini dan saya berharap permusuhan politik tidak melarat selepas selesai PRU-14.

“Kita mesti berusaha pertahankan keamanan ini sebagai tanda kita mensyukuri nikmat, selari dengan tuntutan agama kerana Allah berfirman dalam al-Quran, apabila kita bersyukur dengan nikmat Allah, Dia akan tambah lagi nikmat kepada kita,” katanya. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan