Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,759

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kerajaan perlu kaji semula Dasar Pembiayaan dan Pinjaman Perumahan- Azih

2:17pm 02/06/2016 Elezebeth Esther Onjining 126 views Berita Pilihan,Isu Semasa,Tempatan
KENANGAN.. Azih (barisan hadapan, dua dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama para pemimpin tertinggi CUEPACS Sabah. Turut kelihatan, Lok Yim Pheng (barisan hadapan, dua dari kiri) dan Maiman (kanan, barisan hadapan).

KENANGAN.. Azih (barisan hadapan, dua dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama para pemimpin tertinggi CUEPACS Sabah. Turut kelihatan, Lok Yim Pheng (barisan hadapan, dua dari kiri) dan Maiman (kanan, barisan hadapan).

KOTA KINABALU- Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja Dalam Perkhidmatan Awan (CUEPACS) memohon kerajaan mengkaji semula Dasar Pembiayaan dan Pinjaman Perumahan termasuk Dasar Pengiraan Pendapatan Gaji dan Elaun Tetap sektor awam khususnya di Sabah dan Sarawak.

Presiden CUEPACS Kebangsaan, Datuk Azih Muda berkata pihak kerajaan perlu membenarkan elaun- elaun tetap seperti elaun wilayah diambil kira sebahagian daripada pendapatan apabila membuat pengiraan untuk tujuan pembiayaan perumahan.

Katanya, harga rumah di negeri ini sangat tinggi jika dibandingkan dengan negeri- negeri di semenanjung Malaysia.

“Jika kerajaan tidak mengendahkan perkara ini, ramai penjawat awam di Sabah dan sarawak ini tidak layak membeli dan memiliki rumah.

“Sekarang ini, hanya gaji pokok sahaja yang diambil kira dalam pengiraan untuk tujuan membeli rumah,”katanya kepada pemberita selepas tamat Persidangan Perwakilan Tritahunan CUEPACS Negeri Sabah di Hotel Tang Dynasty, disini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung CUEPACS, Datuk Lok Yim Pheng dan Pengerusi CUEPACS Sabah, Maiman Muntial.

Selain itu, beliau turut memohon pihak kerajaan agar mengkaji dan menetapkan elaun wilayah dengan kadar yang sesuai.

“Setiap kali berlakunya perubahan gaji, maka akan berlaku susutan kepada jumlah elaun wilayah itu.. Sekiranya gaji penjawat awam telah mencapai tahap satu siling, elaun tidak ada lagi… Kita hendak melihat agar elaun wilayah ini lebih anjal,” katanya.

Disamping itu, Azih turut memohon agar pihak kerajaan dapat mempertimbangkan bonus raya sebulan gaji kepada semua anggota perkhidmatan awam seluruh Malaysia.

Menurut Azih, pemberian bonus itu wajar dengan mengambil kira faktor sempena sambutan perayaan dan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa kini.

“Melihat kepada sumbangan para penjawat awam, pemberian bonus ini adalah perkara yang wajar dilakukan agar mereka dapat mengharungi bulan Ramadhan dan menyambut Hari Raya dalam keadaan yang lebih selesa,”katanya.- Oleh Elezebeth Esther/SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan