Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kerajaan Negeri Sedia RM3.3 Juta Untuk Draf Pelan Struktur Sabah 2033

hajiji-pc-600x355

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri memperuntukkan RM3.3 juta untuk menyediakan Draf Pelan Struktur Sabah 2033 bagi menggantikan draf pelan terdahulu, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata draf pelan terdahulu iaitu Draf Pelan Struktur Sabah 2020 yang diluluskan jemaah menteri pada April 2006 perlu dipinda dan disemak semula bagi mengambil kira dasar-dasar pembangunan terkini yang ditetapkan kerajaan negeri.

“Draf Pelan Struktur Sabah 2033 disediakan sebagai hala tuju strategik yang baharu bagi pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi Sabah pada 20 tahun akan datang,” katanya menjawab soalan Wong Hong Jun (DAP-Likas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini Rabu.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Seri Yahya Hussin berkata kerajaan negeri akan terus membangunkan padang-padang ragut dalam Rancangan Malaysia Ke-11 bagi meningkatkan pengeluaran ternakan ruminan.

“Padang ragut merupakan wadah baik untuk dibangunkan bagi memberi kesan serampang dua mata dalam meningkatkan ternakan ruminan seterusnya memperbaiki ekonomi penduduk tempatan di sesebuah kampung yang memiliki padang ragut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohamad Alamin (BN-Bongawan) yang ingin tahu keluasan tanah ragut di negeri ini dan aktiviti yang dijalankan ke atas tanah tersebut.

Menurut Yahya, Sabah mempunyai 99 buah padang ragut dengan keluasan 31,414 ekar yang diwartakan.

Dianggarkan 12,566 ekar daripada keluasan padang itu digunakan secara aktif bagi aktiviti ternakan seperti pemeliharaan ternakan kerbau, lembu dan kambing.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan