Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kerajaan negeri puji komitmen Petronas

Para pelajar Sabah yang meraih anugerah tajaan Petronas. - foto ihsan Petronas
Para pelajar Sabah yang meraih anugerah tajaan Petronas. – foto ihsan Petronas

KOTA KINABALU – Penajaan pendidikan oleh syarikat korporat di negeri ini dapat membantu pelajar cemerlang yang kurang berkemampuan berpeluang meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, mengambil contoh komitmen Petronas dalam menaja biasiswa pengajian dan pendidikan kepada para pelajar di Sabah, telah berjaya melahirkan ramai anak watan profesional dan mahir dalam pelbagai bidang kerjaya.

“Kerajaan negeri amat menghargai komitmen Petronas yang banyak membantu menjana penambahbaikan pendidikan anak bangsa serta memacu agenda kemajuan nasional. Petronas terus melaksanakan tanggungjawab sosialnya selaras dengan pembangunan pesat negara dalam tempoh empat dekat ini.

“Kita melihat, inisiatif Petronas ini juga sejajar dengan status serta kredibilitinya sebagai syarikat minyak dan gas negara,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian Anugerah Penajaan Pendidikan Petronas, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, beliau diwakili oleh Timbalannya yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, turut menyampaikan tajaan pendidikan itu kepada 210 pelajar.

Mereka terdiri daripada pelajar Program Penajaan Pendidikan Petronas seramai 22 orang, MARA (150) dan Program Penajaan Bantuan Latihan Institusi Vokasional (Vista) iaitu 46 pelajar.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun serta Naib Presiden Kanan Upstream Malaysia Petronas, Datuk Anuar Taib.

Untuk menghadapi persaingan global dengan persekitaran ekonomi yang dipacu oleh inovasi, Musa berkata, penajaan pendidikan Petronas bakal menyumbang kepada peningkatan prestasi akademik negara.

Menurut beliau, menerusi penajaan ini, kerajaan negeri yakin ia mampu membantu usaha melahirkan golongan pelajar yang mempunyai wawasan serta berkebolehan memimpin masa depan.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pelajar yang dianugerahkan penajaan pendidikan Petronas akan memanfaatkan peluang pendidikan sebaik mungkin kerana tiada lebih membanggakan selain melihat generasi masa depan menjadi pemimpin masa depan yang lahir daripada usaha hari ini. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan