Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KERAJAAN NEGERI PERHALUSI CADANGAN TURUNKAN HAD UMUR BERKAHWIN

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama pemenang Pertandingan Pidato Kenegeraan peringkat kebangsaan. Gambar SNT/Ehsan JKM

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan berbincang dengan Mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar untuk mengkaji dan memperhalusi cadangan menurunkan had umur perkahwinan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, usaha memperhalusi cadangan berkenaan adalah untuk menetapkan satu garis panduan di peringkat negeri, berkenaan penyelesaian isu tersebut.

“Berhubungan dengan had umur perkahwinan di Sabah, kita perlu melihat dari segi kaedah yang sedia ada, kerana kita tahu ada yang berpaksikan kepada landasan agama dan sebagainya.

Shafie ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Pidato Kenegaraan peringkat kebangsaan di UiTM di sini hari ini.Gambar SNT/Ehsan JKM

“Namun demikian saya akan merujuk kepada Mufti Sabah sendiri kerana beliau seorang tokoh agama iaitu bagi rujukan perkara ini dan saya yakin beliau tahu akan hukum hakam berkenaan cadangannya.

“Ini salah satu perkara yang perlu dilihat secara mendalam kerana mungkin keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan pusat untuk menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun itu berlandaskan dengan kejadian-kejadian yang berlaku di mana ada paksaan serta kes-kes tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2018 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah hari ini.

Tambahnya, cadangan berkenaan dikeluarkan mungkin kerana suasana yang memerlukan penyesuaian Rang Undang-Undang (RUU) sedia ada tetapi dari sudut agama Islam juga perlu dilihat dengan lebih teliti.

Mengenai kritikan terhadap cadangan Bungsu, Shafie berkata Kerajaan negeri tidak mendiamkan diri berkenaan isu tersebut.

Namun Shafie berkata, isu berkenaan perlu dirujuk dengan pakar-pakar agama serta perundangan yang ada dan bagaimana negara-negara lain melihat keadaan tersebut.

“Tidak bererti perbezaan pendapat di peringkat ini satu yang kita harus ketepikan.

“Kita harus mendengar semua pihak, halusinya sebelum ianya menjadi satu RUU,” jelasnya.

Terdahulu, Mufti Sabah tidak bersetuju had umur minima perkahwinan dinaikkan kepada 18 tahun dan beliau menegaskan bahawa individu elok berkahwin awal sesuai dengan hukum syarak.

Bungsu mencadangkan had usia diturunkan masing-masing kepada 14 dan 16 tahun bagi remaja perempuan dan lelaki.

Katanya, usia 16 dan 18 tahun tiada masalah untuk berkahwin jika sudah mencapai baligh, namun perlu mendapatkan kebenaran mahkamah. -SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan