Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KERAJAAN NEGERI PELAWA PELABUR ASING KE SABAH

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama isteri Datin Shuryani Shuaib ketika melepaskan burung merpati sebagai simbolik Pelancaran Sambutan Hari Kebangsaan Sutera Harbour Resort and Spa, di Kota Kinabalu. Gambar SNT / Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sabah perlu menarik lebih ramai pelabur dari luar negara seperti Singapura untuk melabur di negeri ini dalam pelbagai bidang ekonomi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, negara itu mempunyai ramai pelabur yang berminat untuk mengadakan kerjasama perniagaan dengan kerajaan negeri memandangkan mereka mempunyai sumber kewangan yang besar.

“Kerjasama pelaburan atau perniagaan kita bukan sahaja tertumpu dengan negara besar seperti China, sebaliknya kita perlu menarik pelabur-pelabur besar dari Singapura untuk datang ke Sabah,” katanya ketika berucap sempena pelancaran Sambutan Hari Kebangsaan Sutera Harbour Resort hari ini.

Mohd Shafie berkata, salah satu bidang yang berpotensi untuk menjana keuntungan pelaburan jangka masa panjang ialah dalam industri pelancongan.

Ketua Menteri sambil diperhatikan isterinya menatang burung merpati ditapak tangan sebelum dilepaskan sebagai simbolik kepada pelancaran Sambutan Hari Kebangsaan Sutera Harbour Resort and Spa, di sini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau berkata, industri pelancongan telah terbukti menjadi penyumbang terbesar bagi pertumbuhan dan pendapatan ekonomi negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, perkara lain yang diberikan penekanan dalam soal menarik pelabur luar itu ialah hasrat kerajaan negeri agar lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan kepada anak-anak Sabah.

Mengenai program tersebut, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri menyambut baik sokongan padu daripada pihak hotel berkenaan dalam kempen Jalur Gemilang yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

“Saya difahamkan lebih 500 Jalur Gemilang serta bendera Negeri Sabah dikibarkan di sekitar Sutera Harbour sejak dua minggu lalu.

“Justeru, saya menyarankan agar semua hotel dan organisasi di Sabah turut serta dalam kempen kibarkan Jalur Gemilang, khususnya bagi organisasi dalam sektor pelancongan.

“Sutera Harbour Resort serta hotel-hotel lain mempunyai tanggungjawab besar sebagai tuan rumah kepada pelancong-pelancong yang berkunjung ke Malaysia khususnya di Sabah,” ujarnya. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan