Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kerajaan negeri mahu promosi budaya Kadazandusun Murut

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tengah) melakukan upacara Mongomot iaitu menuai padi pada Majlis Penutupan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2018 di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang. – Foto Mohd Adam Arinin

 

PENAMPANG: Kerajaan baharu Sabah akan terus mempromosikan budaya masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) di peringkat antarabangsa sebagai usaha berterusan memelihara dan meningkatkan warisan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pesta KDM seperti Kaamatan bukan setakat perayaan budaya, malah produk penting untuk membawa pelancong ke Sabah, khususnya pada setiap Mei.

“Masyarakat KDM mempunyai banyak produk dan saya akan bawa perkara ini kepada Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Seri Madius Tangau untuk dibangunkan dan mneingkatkan jualan kostum tradisional masyarakat itu.

“Bagaimanapun, ia bukan saja mengenai tarian dan kostum tetapi juga makanan. Saya suka `hinava’ (ikan mentah diperah limau) dan kita perlu promosikan makanan tradisi ini bukan saja di sini tetapi boleh dihidangkan di London,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan ribuan pengunjung pada majlis penutupan Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Shuryani Shuaib; Madius; Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Christina Liew dan Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony.

Mohd Shafie berkata, beliau mahu memastikan Pesta atau Tadau Kaamatan memberi manfaat kepada semua selain meninggalkan kesan berpanjangan kepada pelancong berkaitan Sabah dan budayanya apabila mereka kembali ke negara masing-masing.

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu turut menggesa semua pihak untuk mengenepikan perbezaan politik dan terus mengembangkan perpaduan dalam merayakan semangat Kaamatan bersama-sama.

“Pembukaan bulan Kaamatan dilancarkan Barisan Nasional (BN) di Keningau tetapi hari ini, WARISAN (yang mengetuai kerajaan baharuu negeri) membuat penutupan sambutan. Bagaimanapun, ia tidak membezakan apa-apa.

“Kita akan terus menghormati dan meningkatkan usaha bagi menambah baik sambutan. Inilah kebanggaan kita, kita mesti menghargai pemimpin kita seperti Tun Fuad Stephen dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang banyak menyumbang kepada masyarakat KDM,” katanya.

Sementara itu, katanya kerajaan negeri akan melihat cadangan untuk menambah baik kawasan Hongkod Koisaan KDCA untuk menampung lebih ramai pengunjung berikutan peningkatan jumlah yang ketara sepanjang Pesta Kaamatan. – Oleh Avila Geraldine/BH Online

Komen


Berita Berkaitan