Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kerajaan Negeri belum berhasrat untuk menubuhkan skim pembangunan pertanian

2:03pm 08/08/2016 Leolerry Lajius 16 views Tempatan

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri belum  berhasrat untuk menubuhkan skim pembangunan pertanian untuk tanaman yang dikenalpasti dalam tapak yang sesuai dan pada masa yang sama memberi tanah kepada sesiapa yang berminat seperti yang pernah dilaksanakan semasa era 60-an dan 70-an dahulu.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Hj. Sairin Karno berkata, namun begitu, Kerajaan Negeri, melalui Jabatan Pertanian, melaksanakan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dengan memberi pajakan tanah secara sewaan kepada sesiapa yang berminat manakala yang memiliki tanah sendiri, mereka akan mengusahakan tanah tersebut dengan tanaman yang dikenalpasti secara berkelompok atau individu.

“Kos pembangunan infrastruktur asas TKPM ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan manakala Kerajaan Negeri hanya menyediakan tanah melalui pewartaan.”

“Peserta projek sama ada pelabur atau usahawantani yang terpilih akan mengusahakan tanah tersebut dengan tanaman makanan bernilai tinggi melalui kaedah penyewaan untuk satu jangka masa tertentu dan Jabatan Pertanian juga akan menggunakan konsep yang sama untuk tanah milik jabatan yang berpotensi untuk dibangunkan,”katanya.

Beliau berkata demikian, ketika menjawab soalan ADUN Luyang Dr. Hiew King Cheu yang bertanyakan samaada kerajaan akan menubuhkan skim pembangunan pertanian untuk tanaman yang dikenalpasti dalam tapak yang sesuai dan pada masa yang sama memberi tanah kepada sesiapa yang berminat, sempena persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah(DUN)  mesyuarat kedua penggal keempat di DUN Sabah yang ke-14, di sini, hari ini.

Beliau turut menyatakan bahawa, Jabatan Pertanian melaksanakan tiga pendekatan bagi individu yang berminat untuk mengusahakan tanah sendiri.

Pendekatan pertama adalah pelaksanaan TPKM yang bersifat in-situ di mana tanah milik petani dizonkan mengikut tanaman yang telah dikenalpasti di kawasan tersebut bagi tujuan meningkatkan pengeluaran hasil.

Pendekatan kedua adalah, pembangunan secara berkelompok yang mana melalui pendekatan ini kumpulan petani yang memiliki tanah sendiri memohon insentif bagi membangunkan tanaman yang disyorkan dan bersaiz ekonomik serta sesuai dengan kawasan tersebut.

“Tujuan pembangunan  secara berkelompok ini adalah untuk memudahkan perancangan membina jalan ladang, kerja-kerja pengembangan pertanian, pusat pengumpulan hasil dan juga pemasaran,”katanya.

Pendekatan ketiga adalah, pembangunan pertanian secara individu dan melalui pendekatan ini, pengusaha pertanian yang berpotensi serta memiliki tanah sendiri akan dibantu bagi meningkatkan pengeluaran tanaman makanan secara komersil bagi membolehkan mereka menjadi usahawan pertanian berpendapatan sekurang-kurangnya RM8,000 sebulan.

Tambah beliau, pelaksanaan pembangunan berkonsepkan Mini Estet Sejahtra (MESEJ) di kawasan-kawasan lubuk kemiskinan menjadi platform untuk meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar secara berterusan di samping menikmati peningkatan kualiti hidup.

“Sejak program  MESEJ ini dimulakan dalam tahun 2004 sebanyak 45 buah MESEJ yang merangkumi 29 MESEJ Pertanian, 6 MESEJ Akuakultur, 8 MESEJ Mikro dan 2 MESEJ Bersepadu telah dilaksanakan oleh kerajaan,”katanya.-Oleh Leolerry Lajius/Sayang Sabah.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan