Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kerajaan masih tunggu laporan siasatan kebakaran alatubah SESB di Tenom

sesbterus

TENOM: Kerajaan negeri Sabah masih menunggu laporan siasatan kebakaran alatubah di Pencawang Masuk Utama (PMU) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang berlaku di sini kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Radin Malleh.

Katanya, Kerajaan Negeri perlu mendapatkan laporan yang lengkap daripada pihak SESB selepas siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau kerja-kerja pembaikan alatubah di PMU itu pada Rabu.

Dalam lawatan kerja itu, Radin yang diberikan taklimat oleh Pengurus SESB kawasan Tenom, Salleh Ambo turut diiringi oleh Pegawai Daerah Tenom, Madiyem Layappan, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kawasan Melalap, Simon Mamat, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Infrastruktur, Stanis Buandi serta para pegawai Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah.

Sambil mengucapkan penghargaan kepada SESB kerana berjaya memulihkan semula bekalan elektrik yang terjejas di daerah-daerah terbabit sejak seminggu lalu dengan efisien mengikut jadual yang ditetapkan oleh syarikat itu, Radin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Melalap juga menggesa rakyat untuk mengamalkan cara-cara penggunaan bekalan elektrik dengan bijak dan berhemah seperti mana yang disyorkan oleh pihak SESB bagi mengelakkan pembaziran tenaga.

“Selain itu, tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Tenom yang berjaya memadamkan kebakaran itu daripada memusnahkan keseluruhan kawasan pencawang elektrik itu juga amat dihargai oleh seluruh warga Tenom,” katanya.

Terdahulu, Radin bersama-sama dengan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur menghadiri sesi taklimat mengenai kerja-kerja pembaikan alatubah elektrik di Kg. Bahagia Tenom yang disampaikan oleh Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Mohd Nazri Pazil dan Timbalan Pengurus Besar SESB (Pembahagian) dan Ridwan Sahar di Hotel Perkasa Keningau.

Turut hadir di sesi taklimat itu ialah Pegawai Daerah Tenom, Madiyem Layappan, Pegawai Daerah Tambunan, Thomas Logijin serta para pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah.

Komen


Berita Berkaitan