Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kerajaan masih pertimbang pelaksanaan Jambatan Labuan-Menumbok

LABUAN, 15 Sept (Bernama) — Kerajaan persekutuan masih mempertimbangkan cadangan pembinaan jambatan Labuan-Menumbok-Labuan, dan pelaksanaannya akan mengambil kira status semasa kedudukan kewangan kerajaan.

Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad berkata projek dicadangkan itu masih ‘dipegang’ kerajaan walaupun kajian kebolehlaksanaan tekno-ekonomi yang melibatkan peruntukan RM15 juta sudah dibatalkan.

“Kenyataan saya dalam sesi Parlimen seperti dipaparkan dalam video (yang menjadi tular) memberi persepsi seolah-olah jambatan dicadangkan itu dibatalkan, tetapi sebenarnya kajian tersebut yang dibatalkan.

“Biar saya jelaskan di sini, apa saya terangkan pada sesi Parlimen lepas mengenai isu jambatan ini adalah kos kajian itu terlalu tinggi dan kita berpendapat, ia tidak munasabah. Itu sebabnya kita membatalkannya, tetapi bukan cadangan pelaksanaan jambatan berkenaan,” katanya pada sidang media di atas feri Galaxy dari Labuan ke Menumbok hari ini.

Justeru, kajian baharu lebih efektif perlu dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dengan mengambil kira status kewangan kerajaan, katanya.

“Kos anggaran pembinaan jambatan ini dikatakan kurang daripada RM10 bilion, yang mana kerajaan berpendapat ia masih boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat, dan kaedah pelaksanaannya mungkin melalui penswastaan,” katanya.

Khalid berkata adalah wajar sementara menunggu pelaksanaan jambatan itu bermula, dengan melihat bidang pembangunan ekonomi lain untuk membantu meningkatkan dan merancakkan aktiviti ekonomi di pulau berkenaan.

“Sementara menunggu pelaksanaan jambatan itu, kita perlu melihat bagaimana kita boleh meningkatkan kemudahan infrastruktur pembangunan yang boleh memberi manfaat kepada ekonomi pulau tersebut,” katanya.

Khalid berkata adalah tidak tepat menyatakan kementeriannya mengabaikan sektor minyak dan gas yang sudah lama bertapak di Labuan dan ?memberi lebih tumpuan kepada pertanian.

Beliau menegaskan ia tidak berdaya maju untuk mengusahakan sektor itu dalam keadaan pertumbuhan yang lembap kini disebabkan harga minyak global yang tidak menentu.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan