PUTRAJAYA– Kerajaan amat komited dalam usaha untuk memperkukuh perpaduan dan penyatuan nasional menerusi Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian antara Agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata penubuhan jawatankuasa itu bertujuan memastikan rakyat pelbagai agama dan kaum dapat menjalani kehidupan seharian dengan aman dan harmoni.
Di samping itu, mereka berpegang pada prinsip-prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan, katanya.
“Selain itu, kerajaan juga telah menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara dan Program Penyatuan Nasional yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 9 Mac lepas.
“Ia berperanan mendapatkan input dari akar umbi yang akan disalurkan kepada kerajaan,” katanya.
Joseph berucap pada majlis berbuka puasa bersama warga Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di sini pada Isnin malam.
Sehubungan itu, beliau meminta penjawat awam memainkan peranan dalam mengukuhkan perpaduan dan penyatuan nasional demi memastikan dasar-dasar kerjaan berjalan dengan jayanya.