Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kerajaan komited pastikan kestabilan tiga aspek utama negeri diperkukuh: Musa

YU SENG.... Musa (tengah) diapit oleh Salleh dan TC Goh serta tetamu kehormat lain melakukan 'Yu Seng'. - foto Sayangsabah
YU SENG…. Musa (tengah) diapit oleh Salleh dan TC Goh serta tetamu kehormat lain melakukan ‘Yu Seng’. – foto Sayangsabah

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman memberi jaminan bahawa kerajaan negeri komited untuk memastikan kestabilan ekonomi, politik dan kemakmuran sosial masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini terus diperkukuhkan.

“Kerajaan sentiasa berusaha untuk mengukuhkan dan meningkatkan lagi aspek utama yang berkaitan kestabilan dan keharmonian rakyat di negeri ini,” katanya semasa berucap di Majlis Makan Malam “Pesta Ang Pow” sempena perayaan Tahun Baru Cina di Dewan Hakka, Tanjung Lipat di sini pada Isnin.

Oleh itu, beliau berkata sebarang tindakan yang boleh memberikan kesan negatif kepada perpaduan dan kestabilan rakyat mesti dielakkan bagi membolehkan pembangunan negeri ini dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Ini akan membolehkan kerajaan untuk meningkatkan lagi tahap sosio-ekonomi rakyat dan memberi tumpuan untuk membawa lebih banyak kemajuan khususnya di kawasan luar bandar Sabah,” katanya lagi.

Sementara itu, Musa turut menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan mana-mana suku kaum dan agama dalam melaksanakan program pembangunan di negeri ini.

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan berfungsi untuk semua lapisan masyarakat.

Musa berkata, kerajaan juga menyediakan sejumlah dana peruntukan bagi disalurkan kepada sekolah dan rumah ibadat masyarakat bukan Islam di Sabah.

“Ini adalah bukti komitmen dan keikhlasan kerajaan dalam memastikan keperluan semua rakyat dapat dibela selaras dengan slogan 1Malaysia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat khususnya kaum Cina agar terus memberikan sokongan kepada kerajaan dalam usaha memajukan negeri ini.

Beliau percaya bahawa kestabilan politik, perpaduan, keharmonian dan toleransi di Sabah akan mengukuhkan lagi perpaduan di negara ini.

“Inilah keunikan negara kita Malaysia, masyarakat yang mempunyai pelbagai kaum, bangsa dan agama yang hidup keadaan aman harmoni.. Kita boleh meraikan semua perayaan dan hari kebesaran termasuk Tahun Baru Cina dengan penuh rasa muhibah dan meriah,” katanya lagi.

Pada majlis itu, Musa turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM100,000 untuk Gabungan Persatuan Cina Sabah.

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Salleh Tun Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong, Timbalan Ketua Menteri Datuk Raymond Tan, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Radin Malleh, Menteri Tugas-tugas Khas Datuk Teo Chee Kang, Pembantu Menteri, wakil rakyat dan para tetamu jemputan.

Turut hadir ialah Konsul Jeneral China ke Sabah, Chen Peijie. – Oleh NUZIR ANDI SAMSIAR / Sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan