Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kerajaan Gubal Undang-Undang Bendung Salah Guna Darjah Kebesaran

sahidan

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang menggubal undang-undang khusus untuk membendung salah guna darjah kebesaran yang tidak diiktiraf di negara ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata penggubalan undang-undang itu merupakan langkah kawalan efektif untuk menangani perkara tersebut.

“Dengan berkuatkuasa undang-undang ini, kerajaan akan mengenakan tindakan kepada individu yang menggunakan atau terlibat secara langsung atau tidak dalam urusan penganugerahan berkenaan.

“Ini termasuk penerimaan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf,” katanya semasa menjawab pertanyaan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota).

Fauzi ingin tahu mengenai pemberian gelaran Datuk yang tidak diiktiraf dan kriteria penganugerahan pingat atau bintang kebesaran negeri dan persekutuan.

Jelas Shahidan, kerajaan sama sekali tidak mengiktiraf sesuatu darjah kebesaran selain penganugerahan yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja, Yang Dipertua Negeri, Ketua Negara dan Ketua Negara Asing dalam kalangan negara berdaulat.

Katanya darjah kebesaran yang dikurniakan pertubuhan, persatuan atau institusi dari dalam atau luar negara yang wujud hanya sebagai pusat kebudayaan atau pemulihan adat budaya dan tradisi tidak termasuk dalam kategori darjah kebesaran yang diiktiraf kerajaan Malaysia.

“Mana-mana individu yang memperoleh darjah kebesaran ini tidak boleh sama sekali menggunakan gelaran yang diterima dalam urusan rasmi atau semasa menghadiri sebarang majlis rasmi di negara ini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Othman Abdul (Pendang-BN) mengenai kuasa menarik balik darjah kebesaran daripada penerima yang terlibat melakukan jenayah, Shahidan memberitahu hanya pengeluar darjah kebesaran layak menarik balik pemberian tersebut daripada penerimanya.

Mengenai kriteria kelayakan untuk penerimaan darjah kebesaran, Shahidan berkata pertimbangan antaranya dibuat berdasar sumbangan cemerlang seseorang individu kepada negara, terkenal dan berkedudukan tinggi serta berpengaruh. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan