Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kerajaan Diminta Percepat Bina Lapangan Terbang Baharu Di Lahad Datu

7:08pm 19/04/2016 Pak Roshan 4523 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Laporan Sidang DUN,Tempatan

airport-lahad-datu

KOTA KINABALU : Anggota Dewan Undangan Negeri Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal meminta agar kerajaan mempercepatkan pembinaan lapangan terbang baharu di Lahad Datu bagi mempertingkatkan lagi potensi pelancongan di daerah berkenaan.

Beliau berkata apabila projek itu siap kelak, ia akan mempertingkatkan kekerapan penerbangan ke daerah berkenaan, terletak kira-kira 400 kilometer dari pusat bandar raya ini, sekali gus menambah kehadiran pelancong ke Lahad Datu.

“Ketika ini, pesawat berkapasiti besar tidak boleh mendarat di lapangan terbang sedia ada, dan hanya kapal terbang kecil berkapasiti terhad boleh mendarat. Oleh itu saya berharap kerajaan dapat menyegerakan pembinaan lapangan terbang baharu itu,” katanya ketika membahaskan ucapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada sidang Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Mohd Yusof (BN-Lahad Datu) berkata pihaknya percaya pembinaan lapangan terbang itu kelak, turut menjadi pemangkin terhadap perkembangan sektor pelancongan di daerah berkenaan, yang secara tidak langsung dapat menjadi penyumbang kepada peningkatan taraf sosio-ekonomi di Sabah.

Sebelum ini, kerajaan telah menjalankan kajian berhubung cadangan pembinaan lapangan terbang baharu di Lahad Datu, yang dikendalikan oleh sebuah syarikat perunding dilantik kerajaan.

Tapak lapangan terbang baharu itu telah dikenal pasti dan ia amat strategik kerana terletak tidak jauh dari pusat pertumbuhan ekonomi Lahad Datu, iaitu Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC), Pusat Pelancongan Tabin dan Laluan ke Bandar Sahabat.

Sementara itu, Mohd Yusof mencadangkan agar kerajaan dapat mewujudkan cawangan universiti pertanian di Lahad Datu bagi meningkatkan lagi keupayaan dalam menjadikan daerah itu sebagai hab pertanian.

Beliau berkata pewujudan cawangan universiti pertanian itu mampu memberi peluang kepada golongan muda di daerah berkenaan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pertanian.

“Ia juga selaras dengan komitmen kerajaan untuk memajukan sektor pertanian sebagai pemacu ekonomi negeri dan rakyat. Saya yakin industri pertanian mampu memacu ekonomi negeri, sekali gus meningkatkan taraf hidup dan sosio-ekonomi penduduk setempat,” katanya.

— BERNAMA

lahad-datu

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan