Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KERAJAAN CADANG TETAP UMUR MINIMA KAHWIN

KOTA KINABALU: Kerajaan bercadang untuk menetapkan umur minima berkahwin negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Liew, menteri bertanggungjawab tentang undang-undang negara, berkata, beliau telah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai hal ini.

“Kami sedang meneliti had umur untuk perkahwinan kanak-kanak, usia minima untuk seseorang berkahwin di Malaysia.

“Pada masa ini, perbincangan masih terbuka dan kami ingin melihat pelbagai implikasi yang mungkin timbul sekiranya kita menetapkan had umur sama ada 16 atau 18,” kata Liew ketika ditanya sama ada terdapat sebarang cadangan daripada pihaknya tentang isu perkahwinan kanak-kanak.

Ditemui selepas menyaksikan penyerahan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu dari Kerajaan Persekutuan kepada badan kehakiman Sabah di sini, hari ini, beliau berkata, antara perkara yang perlu dilihat adalah perkahwinan adat di Sabah dan Sarawak, di mana kanak-kanak dibenarkan berkahwin dengan keizinan ibu-bapa pada umur di bawah 16 tahun.

Menurutnya, isu ini juga perlu dilihat dari segi undang-undang Islam, yang turut membenarkan perkahwinan di bawah umur 16 tahun dengan persetujuan Ketua Menteri atau Menteri Besar.

“Perkara yang paling penting di sini adalah untuk memastikan kepentingan kanak-kanak dijaga … kita mahu memastikan kanak-kanak ini tidak teraniaya.

“Kita tidak mahu berlaku ada yang mengambil kesempatan daripada kelemahan undang-undang untuk memuaskan nafsu mereka,” katanya.

Ditanya sama ada persetujuan akan dapat dicapai dengan badan Islam mengenai isu tersebut, Liew berkata, perbincangan akan diteruskan namun beliau berpendapat bahawa badan-badan Islam juga sependapat dengan anggota masyarakat lain dalam perlindungan kanak-kanak.

Beliau berharap perbincangan itu dapat dicapai dengan secepat mungkin.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan