Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kerajaan BN sentiasa mencari jalan bantu rakyat -Yahya

YAHYA bersama rakyat Putatan pada Program Jualan Sentuhan Rakyat.

PUTATAN: Lebih banyak kemudahan dan pembangunan untuk rakyat dapat disalurkan menerusi penarafan daerah kecil kepada daerah penuh sesebuah kawasan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Haji Hussin berkata,daerah Putatan umpamanya menjadi antara daerah pesat membangun selepas dinaiktaraf menjadi daerah penuh sejak tahun 2011.

Beliau berkata,usaha menaiktaraf sesebuah daerah kecil penting bagi memastikan pelan pembangunan daerah dapat dirancang dan diatur sebaik mungkin sekaligus menentukan pembangunan terancang dan berkesan bagi setiap daerah penuh.

Yahya yang juga wakil rakyat Petagas menyatakan demikian dalam ucapannya pada Program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Putatan di sini.

Katanya, Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah berjaya membawa pembangunan yang pesat ke Putatan dengan kemudahan jalan raya 3 lorong, lebuh raya Pan Borneo, perumahan rakyat dan lain-lain lagi.

“Pelbagai bantuan juga diberikan kepada rakyat pelbagai peringkat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan sara hidup untuk nelayan, bantuan warga tua, OKU dan banyak lagi.

“Semua ini untuk kesejahteraan rakyat. BN adalah kerajaan yang prihatin dan sentiasa berusaha mencari jalan membantu kesejahteraan rakyat”, tambahnya.

Sehubungan itu, Yahya meminta rakyat terus memberikan sokongan dan undi mereka kepada BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14.

Yahya menegaskan Program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Putatan yang diadakan juga merupakan salah satu usaha kerajaan BN membantu meringankan golongan berpendapatan rendah.

Sementara itu,Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr. Markus Mojigoh dalam ucapannya terdahulu menegur sikap sesetengah pihak yang lantang dan menuduh secara membabi buta  bahawa penjawat awam termasuk sesetengah pihak berkuasa tempatan tidak membuat kerja adalah tidak adil dan tidak rasional.

Katanya, faktor kewangan dan kekurangan kakitangan dan kemudahan menjadi antara faktor menyebabkan penjawat awam gagal melaksanakan tugas mereka sebaik mungkin dan bukannya disengajakan seperti yang didakwa pihak tertentu.

Pada majlis tersebut, Yahya, Marcus dan pemimpin parti komponen BN Putatan melancarkan program itu yang menawarkan harga barangan terendah di pasaran bagi lebih 20 barangan keperluan seperti beras, tepung, minyak dan gula.

Komen


Berita Berkaitan