Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kerajaan BN membela dan memperkasa golongan petani

SIPITANG: Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha membela dan memperkasa nasib golongan para pesawah khususnya di Sabah dan seluruh negara amnya, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin.

Katanya, kerajaan amat menghargai sumbangan golongan ini kerana jerih payah serta keringat yang dicurahkan oleh mereka  sebagai penanam padi bagi menghasilkan sumber makanan untuk keperluan rakyat.

Beliau berkata, Kerajaan sedia maklum tanaman padi ini sering diancam oleh keadaan cuaca seperti hujan berlebihan, angin ribut, banjir, kemarau serta serangan serangga dan penyakit yang sukar dijangka dan dikawal.

“Kerana pengorbanan dan kegigihan mereka berterusan bagi membekalkan sumber makanan beras kita, maka Kerajaan BN yang prihatin amat menghargai dan membantu golongan ini dengan mewujudkan Program Bantuan Khas Pesawah RM600.00 bagi meringankan bebanan mereka sementara menunggu hasil padi dituai”, katanya.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Pesawah Sementara Menunggu Hasil Tuaian Padi 2018 dan Penyerahan Bantuan Kambing Tenusu 2018 Daerah Sipitang di perkarangan Pejabat Pertanian Daerah dekat sini, Jumaat lalu.

Seramai 247 pengusaha padi sawah menerima bantuan khas tersebut manakala 6 orang pengusaha menerima bibit kambing tenusu di majlis itu.

Yahya berkata, dijangkakan seramai 28,898 orang pengusaha tanaman padi sawah dan bukit di Sabah akan mendapat manfaat daripada Program Bantuan Khas ini yang melibatkan peruntukan sejumlah RM17,338,800.00 .

Menurutnya, daripada jumlah tersebut seramai 17,214 orang adalah pesawah dan 11,684 penanam padi bukit.  Mereka akan menerima bantuan sebanyak RM200.00 sebulan bagi tempoh 3 bulan iaitu berjumlah RM600.00.

Katanya, kerajaan juga membantu para pengusaha tanaman padi dengan pelbagai bantuan inisiatif seperti subsidi pembajakan sawah, subsidi baja, racun, benih padi serta subsidi harga belian padi.

“Kerajaan BN juga telah menyediakan kemudahan infrastruktur seperti tali air, perparitan dan jalan ladang yang melibatkan jutaan ringgit demi kesejahteraan para petani.

“Pada tahun 2016, kerajaan telah membeli sebanyak 52 jentera pembajak 4 roda bernilai RM8 juta untuk mengatasi masalah kekurangan jentera pembajak di negeri ini.  Pada tahun ini, sebanyak 5 buah jentuai akan dibeli oleh kerajaan bagi mengatasi masalah kekurangan jentuai di Sabah”, tegasnya.

Menurutnya, dalam RMK10 Kerajaan BN telah membelanjakan sebanyak RM 86.47 juta untuk subsidi pembajakan sawah manakala dalam RMK11 sejumlah RM 85.3 juta telah diperuntukan untuk subsidi yang sama.

Yahya menegaskan, bagi mengurangkan bebanan kos input penanam padi seperti baja dan racun, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM 224.7 juta dalam RMK10 dan setakat ini sebanyak RM 108.3 juta telah dibelanjakan dalam RMK11.

Beliau berkata, dalam menambah baik sistem pengairan, kerajaan telah memperuntukan RM 60 juta dalam RMK10 dan RM 48.5 juta dalam RMK11.

Yahya menegaskan, Kerajaan BN begitu prihatin dalam membela golongan pengusaha tanaman padi di negeri ini secara berterusan demi mensejahterakan rakyat.

“BN adalah sebuah kerajaan yang tanggungjawab dan sentiasa berusaha mencari jalan meningkatkan sosio-ekonomi rakyat terutama golongan petani”, tegasnya.

Sehubungan itu, Yahya menyeru golongan petani agar menyokong dan memberi mandat kepada BN dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14) untuk terus berbakti kepada rakyat./SayangSabah

Yahya bergambar kenang-kenangan bersama sebahagian penerima bantuan khas pesawah dan bantuan kambing tenusu di majlis itu.

Komen


Berita Berkaitan