Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kerajaan beri jaminan program hala tuju wanita terus dilaksanakan

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Christina Liew (dua kiri) menyampaikan anugerah Tokoh Wanita 2018 kepada Datuk Asnimar Sukardi pada Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah 2018 di Pasific Sutera, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi jaminan akan terus melaksanakan program hala tuju dan pembangunan wanita secara holistik berpandukan Dasar Wanita Negara (DWN) dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan juga sentiasa terbuka menerima sebarang cadangan dan pandangan untuk tujuan penambahbaikan serta kemajuan wanita keseluruhan khususnya di Sabah.

“Saya yakin dan percaya kita akan melihat satu transformasi menggalakkan dalam pembangunan wanita di Malaysia menerusi perancangan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri.

“Sabah sudah pasti tidak akan ketinggalan dalam menikmati manfaat besar hasil daripada anjakan paradigma pembangunan wanita yang merupakan tulang belakang pembangunan sosio ekonomi negara.

“Saya difahamkan bahawa Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah bersama Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) telah menyiapkan Pelam Induk Pembangunan Wanita Sabah 2018-2022 sebagai panduan dalam perancangan pembangunan wanita dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Sambutan Hari Wanita Peringat Negeri Sabah yang bertemakan `Wanita Cemerlang, Rakyat Sejahtera’ di sini malam tadi. Teks ucapan Mohd Shafie dibacakan oleh Timbalannya, Christina Liew.

Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hashim Paijan; Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Jane Lasimbang dan Pengerusi MPWS, Datuk Dr. Tarsiah TZ Taman.

Christina yang mewakili Mohd Shafie turut menyampaikan anugerah Persatuan Wanita Cemerlang, Usahawan Harapan, Usahawan Cemerlang, Ibu Mithali, Budayawan, Ikon harapan, Ikon cemerlang, Tokoh Wanita Sabah pada majlis itu.

Sehubungan itu, Mohd Shafie berharap pelan berkenaan akan dapat menjadi sumber rujukan semua pihak dalam pelaksanaan program yang boleh memajukan, meningkatkan martabat dan memperkasakan wanita di negeri ini.

Beliau berkata, diakui juga bahawa kaum wanita merupakan sebahagian daripada penduduk negara ini yang gigih menyumbang kepada pembangunan negara ke arah lebih cemerlang. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan