Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kerajaan baharu Sabah teliti perubahan ke atas beberapa dasar

MOHD Shafie (kanan) menerima cenderahati daripada Madius Tangau pada majlis perasmian penutup mesyuarat luar biasa UPKO di Dewan Kebudayaan Penampang, Kota Kinabalu. – Foto Khairull Azry Bidin

 

PENAMPANG: Kerajaan Sabah akan meneliti perubahan ke atas beberapa dasar negeri untuk manfaat rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata antaranya termasuklah meneliti pengeluaran lesen menangkap ikan laut dalam kepada nelayan di negeri ini.

“Ini kerana selama ini lesen menangkap ikan laut dalam dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan. Oleh itu, kerajaan Sabah mahu kita diberi kuasa untuk keluarkan lesen kepada nelayan di negeri ini,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Luar Biasa Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) 2018 di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) turut menjelaskan bahawa kerajaan baharu itu tidak mengabaikan agama lain di negeri ini.

“Selain memperjuangkan Islam, saya juga tidak mengabaikan keperluan dan kebajikan agama lain di Sabah termasuk mereka yang beragama Kristian dan Hindu,” katanya, sambil menambah semua rakyat pelbagai bangsa dan agama membayar cukai.

Dalam pada itu katanya, kerajaan Sabah akan terus mendengar suara rakyat yang sentiasa mahukan perubahan.

“Dalam perjuangan dan pemerintahan kita hari ini, jangan lupa kehendak suara rakyat yang mahu perubahan. Jika kita gagal menunaikan apa yang rakyat mahu, saya yakin kita akan ditolak pada masa hadapan.

“Saya juga meminta agar ahli UPKO tidak perlu menjadi ahli WARISAN, DAP atau PKR, sebaliknya kekal dalam parti dan kita bersama memberi khidmat kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

Terdahulu Madius berkata Persidangan Luar Biasa UPKO 2018 meluluskan tiga usul sempena persidangan berkenaan iaitu menyokong keputusan Majlis Tertinggi untuk menangguhkan Mesyuarat Agung Tritahunan Cawangan dan Bahagian serta persidangan perwakilan tritahunan, tidak melebihi enam bulan daripada 21 April lalu.

“Menyokong dan mengiktiraf keputusan Majlis Tertinggi UPKO untuk keluar daripada gagasan Barisan Nasional (BN); dan tindakan parti menubuhkan kerajaan campuran bersama WARISAN, DAP dan PKR bagi meneruskan perjuangan parti serta meluluskan usul pindaan perlembagaan parti,” katanya. –¬†Oleh Suzianah Jiffar/BH Online

Komen


Berita Berkaitan