Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,504

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kerajaan akan jelaskan mengenai GST di 134 Kawasan Parlimen

4:50pm 08/06/2014 Pak Roshan 10 views Isu Semasa

gst

KOTA BAHARU: Kerajaan akan memberi penjelasan mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi fasa kedua melibatkan 134 kawasan parlimen dalam usaha memberi kefahaman kepada rakyat tentang sistem berkenaan yang akan bermula April tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata pihaknya akan mengadakan empat ceramah di setiap kawasan parlimen yang akan dikelolakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta pemimpin setempat.

“Kita akan buat seberapa banyak ceramah sebelum Ramadan ini,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu stesen radio KelantanFM di sini, Ahad.

GST pada kadar enam peratus akan dilaksanakan mulai 1 April tahun depan bagi menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada yang berkadar keseluruhan 16 peratus.

Ahmad berkata ceramah tersebut akan disampaikan pegawai kastam negeri dan pusat serta dibantu pihak Kementerian Kewangan.

“Penceramah tempatan yang telah menghadiri kursus mengenai GST bolehlah membantu pegawai kastam untuk memberikan ceramah.

“Kita ingin pemimpin utama dalam masyarakat seperti ketua kampung dan mereka yang berpengaruh dahulu dengar, barulah mereka boleh terangkan kepada orang lain,” kata Ahmad.

Beliau berkata orang ramai juga digesa mencari maklumat mengenai sistem cukai itu di portal GST jika ingin memahaminya dengan lebih jelas.

“Apa yang kita harapkan adalah rakyat secara proaktif mencari maklumat, ini kerana maklumat mengenai cukai berkenaan boleh diperoleh melalui portal yang telah disediakan.

Ahmad berkata sesi penerangan yang diadakan bukan sahaja melalui ceramah malah pihaknya turut menggunakan media sosial agar rakyat memahami sistem berkenaan.

“Kempen turut diadakan melalui radio, televisyen, surat khabar dan kita juga mempunyai pelbagai papan iklan yang menerangkan tentang GST,” katanya.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan