Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,727

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Keputusan penangguhan untuk mengambil pekerja asing adalah tepat- Radin

10:40pm 20/02/2016 Leolerry Lajius 343 views Politik,Tempatan
Radin Malleh.

Radin Malleh.

TENOM: Keputusan kerajaan persekutuan menangguhkan pengambilan  pekerja asing termasuk warga Bangladesh ke negara ini adalah tepat bagi melindungi kepentingan rakyat tempatan.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Radin Malleh,hal ini membuktikan keterbukaan terhadap maklum balas rakyat dan keprihatinan kerajaan terhadap kepentingan rakyat di negara ini.

“Rakyat tidak harus terpengaruh dengan pelbagai maklumat tidak benar yang disebarkan oleh individu yang ingin mengambil kesempatan dari isu ini untuk menjejaskan imej dan kredibiliti kerajaan, katanya.

“Kerajaan negeri juga telah menolak cadangan penempatan para pekerja Bangladesh di Sabah,”  tegasnya.

Beliau menambah isu-isu pekerja asing bukan hanya dialami oleh Malaysia malah turut berlaku di  negara-negara membangun yang lain.

Dalam hal ini, rakyat khususnya para belia tempatan juga harus bersikap positif dan rajin bersaing untuk mengisi pelbagai peluang pekerjaan yang terdapat dalam pasaran kerja di negara ini.

Beliau yang juga Adun Melalap berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi tahun 2016 bertempat di Dewan Datuk Seri Antenom, Tenom.

Seramai 1405 orang penduduk daerah Tenom dan daerah kecil Kemabong menerima BR1M itu yang dikendalikan oleh Pejabat Daerah Tenom dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional.

Beliau menambah walaupun jumlah bantuan itu mungkin dianggap rendah oleh segelintir orang, namun ia telah membantu mengurangkan bebanan rakyat berbilang kaum yang berpendapatan rendah.

“Saya berharap mereka akan membelanjakan wang BR1M itu dengan bijak terutamanya semasa membeli barangan keperluan mereka.

“Mereka juga harus berhati-hati ketika berurusan dengan individu-individu tertentu yang ingin mengambil kesempatan semata-mata untuk mendapatkan wang BR1M itu daripada mereka,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata program bantuan itu juga membuktikan penduduk yang berpendapatan rendah di negara ini sentiasa mendapat perhatian kerajaan.

“Kerajaan sentiasa menghargai sokongan rakyat  berpendapatan rendah yang turut sama memainkan peranan dalam pembangunan negara khususnya negeri Sabah,” katanya.

Sokongan rakyat kepada kerajaan itu membolehkan kerajaan meneruskan pelbagai program untuk kesejahteraan rakyat dan  kemajuan negeri ini, katanya.

Turut hadir di majlis itu ialah Pegawai Daerah Tenom, Madiyem Layapan, Pengurus  Bank Simpanan Nasional Zon Pedalaman Atas, James Alexius, penolong pegawai daerah kecil Kemabong, Jasli Tindi serta para penerima BR1M berkenaan.-/SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan