Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kenyataan penuh Menteri Pengangkutan mengenai tragedi MH17

kenyataan penuh mh17

KUALA LUMPUR: Berikut adalah kenyataan daripada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam sidang akhbar mengenai tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Hotel Sama-Sama, Sepang hari ini.

“Tuan-tuan dan puan-puan, saya akan memberi kenyataan ringkas mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia, saya melahirkan setinggi-tinggi ucapan simpati dan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban. Kami turut bersedih bersama keluarga mangsa atas tragedi ini.

“Beberapa jam yang lepas, pegawai di Amerika Syarikat dan Ukraine telah menyatakan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 telah ditembak jatuh. Jika ini disahkan, ia bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan merupakan satu perbuatan yang melampau batas kemanusiaan.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan seperti itu dan menggesa mereka yang bertanggungjawab segera dibawa ke muka pengadilan.

“Seperti yang dinyatakan dalam Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13, kerajaan Ukraine akan memulakan siasatan yang membawa kepada nahas itu, dan bertanggungjawab bagi menjalankan siasatan. Laporan kemas kini siasatan akan diberikan kepada keluarga terdekat oleh penyiasat pihak berkuasa seperti dalam garis panduan ICAO.

“Malaysia menawarkan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi untuk siasatan ini. Malaysia secara rasmi dijemput untuk mengambil bahagian dan akan menghantar dua wakil kanan bertauliah untuk membantu.

“Malaysia juga mengalu-alukan gesaan untuk siasatan oleh badan bebas antarabangsa mengenai nahas itu, dan mendesak semua pihak untuk bekerjasama bagi memastikan siasatan itu dapat diselesaikan.

“Adalah penting integriti tapak nahas itu dipelihara, bagi tujuan siasatan dan bagi mereka yang telah terkorban.

“Malaysia Airlines akan bertanggungjawab sepenuhnya kepada waris mangsa. Syarikat penerbangan itu telah bersedia untuk menghantar 40 kakitangan ke Amsterdam untuk memberi sokongan kepada keluarga mangsa.

“Secara berasingan, seperti yang diumumkan perdana menteri pagi ini, Malaysia akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), ke Kiev.

“Keseluruhannya 62 orang – 30 anggota pasukan Smart, 15 pegawai perubatan, 10 wakil Tentera Udara Diraja Malaysia, lima wakil Malaysia Airlines, dua kakitangan Jabatan Penerbangan Awam – dalam penerbangan ke Kiev.

“Awal hari ini, Malaysia Airlines menyiarkan senarai nama penumpang dan kewarganegaraan mereka. Senarai itu termasuk 41 penumpang yang kewarganegaraan mereka tidak dapat disahkan pada masa itu, kerana mereka dalam transit daripada penerbangan lain sebelum itu dan tidak memasuki kawalan pasport di Amsterdam.

“Dua puluh satu daripada penumpang ini kewarganegaraan mereka telah dikenal pasti, dan 20 masih gagal dikenal pasti. Pecahan warganegara penumpang yang dikenal pasti adalah seperti berikut:

173 dari Belanda

44 Malaysia

27 Australia

12 Indonesia

9 United Kingdom

4 Jerman

4 Belgium

3 Filipina

1 Kanada

1 New Zealand

“Malaysia Airlines kini dalam proses memaklumkan semua waris di dalam pesawat itu. Setelah semua keluarga dihubungi, manifes penumpang akan dikeluarkan. Di samping itu, Malaysia Airlines akan mengeluarkan daftar muatan kemudian hari ini.

“Tanggungjawab untuk mendedahkan maklumat lanjut berhubung siasatan itu terletak pada pihak berkuasa penyiasat, yang mana dalam kes ini ialah Biro Penyiasatan Kemalangan Udara dan Pesawat Awam Ukraine.

“Laluan penerbangan yang direntasi MH17 diluluskan ICAO dan oleh negara yang ruang udaranya turut dijadikan laluan penerbangan. Dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) juga telah menyatakan ruang udara yang direntasi pesawat itu bukan laluan sekatan.

“Lima belas daripada 16 syarikat penerbangan dalam Persatuan Penerbangan Asia Pasifik melalui laluan ini ke Ukraine. Syarikat penerbangan Eropah juga menggunakan laluan sama dan merentasi ruang udara yang sama. Beberapa jam sebelum nahas, beberapa pesawat penumpang daripada syarikat penerbangan berbeza juga menggunakan laluan sama.

“Tidak ada arahan dikeluarkan kepada juruterbang MH17 untuk menukar laluan penerbangan.

“Awal hari ini, Malaysia Airlines mengeluarkan kenyataan mengenai rekod perkhidmatan pesawat yang menunjukkan pesawat itu dalam keadaan baik. Mereka juga telah mengesahkan semua sistem pesawat berfungsi seperti biasa. ACARS dan transponder pesawat berfungsi seperti biasa.

“Sebelum saya menjawab pertanyaan anda, saya sekali lagi mahu mengulangi Malaysia mengutuk serangan terhadap orang awam yang tidak bersalah; menyokong siasatan antarabangsa yang bebas; dan yang paling utama bersimpati kepada semua yang terlibat dalam tragedi ini.

MH17 membawa 298 penumpang dan anak kapal. Ingatan dan doa kami bersama-sama keluarga mereka pada masa yang sukar ini.

Komen


Berita Berkaitan