Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

“Kenapa Bukan Makcik Yang Pergi Dulu” – Ibu Koperal Mohd Azrul Tukiran

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

KLANG : “Kenapa bukan makcik yang pergi dulu,”, demikian ungkapan Sadiah Mohd Amin, 60, ibu kepada Koperal Mohd Azrul Tukiran yang terkorban dalam serangan hendap sekumpulan pengganas bersenjata di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah, kira-kira dua tahun lepas.

Beliau berkata setiap kali menatap gambar-gambar Allahyarham anaknya yang tersusun rapi atas almari di sudut ruang tamu rumahnya itu, hatinya bagai tidak mempercayai sudah dua tahun anaknya itu pergi meninggalkan mereka.

“Makcik rasa macam baru semalam dia pergi,” katanya dengan nada yang sedih kepada pemberita selepas mengadakan majlis bacaan tahlil di rumahnya di Jalan Telok Kapas, Kampung Rantau Panjang dekat sini, hari ini.

Kira-kira 250 tetamu yang terdiri daripada kenalan Allahyarham, penduduk kampung dan saudara-mara menghadiri majlis tahlil itu.

Mohd Azrul dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau adalah antara enam pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam serangan hendap pada 8 malam, 2 Mac 2013.

Menurut Sadiah, anak keenam daripada tujuh beradik itu memang rapat dengan semua adik-beradik dan anak saudaranya.

Sementara itu, sahabat baik Allahyarham, Lans Koperal Hairol Arif Ismail, 29, menyifatkan Mohd Azrul sebagai seorang kawan yang tiada pengganti. Mengimbas ketika beliau menerima berita sahabat baiknya itu telah tiada, beliau berkata, beliau tidak mahu mempercayai maklumat itu sehingga beliau melihat sendiri mayat sahabatnya.

Beliau yang juga merupakan kawan serumah Allahyarham ketika bertugas sebagai anggota PGA di Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna berkata sikap sahabatnya itu yang pemurah dan tidak berkira, akan sentiasa diingatinya sampai mati.

“Pernah sekali Arwah mendahulukan duitnya kepada saya bagi membeli tiket pulang ke Ipoh, Perak bagi melawat ibu saya yang sedang sakit walaupun pada masa itu kita sama-sama kekurangan wang,” katanya yang kini bertugas di Pengkalan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) 5, Sg. Senam, Ipoh, Perak sejak setahun lalu.  — BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan