Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,735

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kenalkah Anda 5 Malaikat Yang Diperintah Allah Untuk Jagakan Manusia

11:30am 04/11/2016 Zakir Sayang Sabah 577 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Malaikat merupakan hamba Allah yang mulia, yang memiliki kekuatan untuk beribadah, taat kepada perintah-Nya dan diciptakan daripada cahaya. Percaya kepada kewujudan malaikat adalah merupakan salah satu daripada 6 Rukun Iman yang telah diwajibkan ke atas kita.

Sememangnya kita diajar untuk mengenal sepuluh nama dan tugas malaikat. Tetapi hakikatnya, terdapat hampir dua puluh malaikat yang telah diperintahkan oleh Allah untuk memikul tugas-tugas tertentu. Antaranya ialah malaikat pembawa Arasy, Harut dan Marut, malaikat penjaga pintu langit dan pelbagai lagi.

Dan daripada dua puluh itu, terdapat tiga tugasan yang telah diperintahkan oleh Allah kepada lima malaikat untuk berada di sisi setiap anak-anak Adam a.s.

#1. Dua Malaikat Hafazah

Malaikat Hafazah bermaksud malaikat penjaga. Ada dua malaikat yang menjaga pada sebelah siang dan dua lagi menjaga pada sebelah malam. Para malaikat ini sama saling bertemu pada solat Subuh dan Asar.

Menurut Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda;

“Maka apabila Allah bertanyakan tentang perihal hamba-Nya kepada malaikat Hafazah ini, maka jawapan mereka ialah: “Kami datang kepada mereka melihat mereka bersolat dan kami tinggalkan mereka pun dalam keadaan mereka bersolat.”

Hadis Riwayat Imam Ahmad

Masya-Allah, alangkah indahnya jawapan yang diberikan oleh malaikat Hafazah tatkala mengadap Allah selepas bersilih ganti menjaga kita. Bayangkan jika kita melewat-lewatkan solat fardhu contohnya Subuh dan Asar. Bagaimana agaknya jawapan malaikat Hafazah ini terhadap perlakuan kita?

“Si Fulanah masih tidur, tidak solat Subuh lagi.”

“Si Fulan masih minum di kedai kopi. Masih tidak solat Asar lagi.”

Sesungguhnya Allah berfirman;

“Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardhu, khasnya solat wustha (Solat Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan kusyuk.”

Surah Al-Baqarah : Ayat 238

#2. Dua Malaikat Kiraman Katibin

Malaikat Kiraman Katibin adalah merupakan dua malaikat yang ditugaskan untuk menulis segala perihal kebaikan dan kejahatan yang dilakukan oleh manusia. Satu di bahu kanan, satu lagi di bahu kiri. Malaikat ini juga dikenali dengan nama Raqib dan Atid. Raqib mencatat kebaikan manakala Atid mencatat kejahatan.

Allah berfirman ;

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”

Surah Qaaf : Ayat 16-18

Renung-renungkanlah ayat Allah ini. Betapa malaikat Kiraman Katibin sangat dekat dengan kita. Takkan tertinggal satu pun amalan dan perbuatan yang telah dilakukan melainkan semuanya dicatat di dalam buku amalan kita.
Di Padang Mahsyar nanti, kedua-dua malaikat ini akan datang bersama kita sebagai pembawa dan saksi.

“Dan (setelah itu) datanglah tiap-tiap orang (ke Padang Mahsyar), disertai (dua malaikat: yang satu menjadi) pembawa dan (yang satu lagi menjadi) saksi.”

Surah Qaaf : 21

Kemudian, segala apa yang terkandung di dalam buku tersebut akan dibacakan satu persatu di hadapan Allah.

“Dan berkatalah malaikat yang sentiasa ada bersama-samanya: “Inilah (Kitab catitan iman dan amal) orang yang terletak dalam jagaanku, siap sedia (untuk dibicarakan).”

Surah Qaaf : Ayat 23

#3. Malaikat Qarin

Qarin ialah pendamping, yang mana terdapat dua qarin yang sentiasa berdampingan dengan kita sejak kita lahir hingga kita kembali menemui Allah.

Diriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda;

“Tidak ada seorang pun antara kamu melainkan pasti ada satu qarin daripada jin dan satu qarin daripada malaikat.”

Hadis Riwayat Ahmad

Qarin jin tugasnya membisikkan kejahatan (was-was) kepada manusia dan Malaikat qarin tugasnya mengajak kita untuk melakukan kebaikan (ilham).

Daripada Abdullah bin Mas’ud, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;

“Sesungguhnya bagi syaitan ada bisikkan kepada anak Adam dan bagi malaikat ada pula bisikkan. Adapun bisikkan syaitan itu mengajak melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran. Dan adapun bisikkan malaikat ialah mengajak melakukan kebaikan dan menerima kebenaran dengan jujur.

Maka sesiapa yang mendapat bisikkan ini, ketahuilah bahawa itu adalah daripada Allah, maka pujilah Allah. Manakala sesiapa yang mendapat bisikkan satu lagi, maka hendaklah dia berlindung kepada Allah daripada syaitan.”

Hadis Riwayat at-Tirmidzi dan an-Nasa’i

Berdoalah selalu kepada Allah agar kita sentiasa diberi ilham untuk melakukan kebaikan. Mohonlah perlindungan daripada-Nya jika bisikkan syaitan datang menghasut ke arah kejahatan.

“Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepada-Mu dari hasutan syaitan-syaitan. Dan aku berlindung kepada-Mu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.”

Surah Al-Mukminuun : Ayat 23

Begitulah taat para malaikat kepada Allah, tidak pernah lalai dan letih dalam urusan menjaga kita. Mereka juga tidak pernah berjauhan daripada kita. Mereka ada dengan kita, sentiasa mengawasi mengikut kehendak Allah. Sentiasa bersama, tetapi tidak pernah bersua.

Bagaimana untuk merasakan kehadirannya? Hanya iman yang mampu menjawabnya. Wallahu’alam.

Sumber Rujukan: Solusi Isu (93) Nikmat Beriman dengan Malaikat. (2016). Telaga Biru.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Nur Ismalina Haris)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan