Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,647

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kenakan tindakan tegas terhadap pengebom ikan- Mohammad

11:39am 19/10/2016 Elezebeth Esther Onjining 31 views Berita Pilihan,Tempatan
MOHAMMAD (kanan) memakaikan Rahman jaket keselamatan sambil diperhatikan Adam (dua dari kiri).

MOHAMMAD (kanan) memakaikan Rahman jaket keselamatan sambil diperhatikan Adam (dua dari kiri).

BONGAWAN- Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) perlu mengenakan tindakan tegas terhadap nelayan menggunakan bahan letupan di perairan negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bongawan, Datuk Mohammad Alamin berkata kegiatan mengebom ikan itu bukan sahaja menjejaskan sumber pendapatan nelayan, tetapi turut memusnahkan terumbu karang yang menjadi habitat hidupan marin.

“Kegiatan mengebom ikan dilakukan oleh para nelayan yang tidak bertanggungjawab dan ini akan menjejaskan sumber pendapatan nelayan serta memusnahkan habitat hidupan marin.

“Kita sangat kesal dengan perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab ini terutama di kawasan perairan sekitar Bongawan dan Selat Kimanis.

“Justeru, kita berharap agensi berkaitan seperti APMM dan Jabatan Perikanan mengenakan tindakan undang-undang terhadap pengebom ikan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Sahabat Maritim di Dewan Kampung Seri Serbang Bongawan, baru-baru ini.

Beliau yang juga Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MAHEINS) turut mengalu-alukan usaha agensi terbabit mempertingkat aspek keselamtan menerusi kerjasama dengan komuniti nelayan.

Sementara itu, Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu (DM15), Laksmana Maritim Pertama Adam Aziz menggesa masyarakat agar segera menyalurkan maklumat kepada pihaknya mengenai sebarang kegiatan yang mencurigakan di kawasan masing-masing.

Menurut Adam, APMM juga bertanggungjawab memastikan keselamatan dan melindungi kepentingan komuniti nelayan sekitarnya.

Pada majlis itu, Mohammad turut merasmikan jeti nelayan yang dibina oleh APMM untuk kemudahan masyarakat nelayan kampung tersebut.

APMM menyumbangkan 30 jaket keselamatan, di samping mengadakan ceramah keselamatan, perlawanan tarik tali antara anggota maritim dan penduduk kampung, sukaneka, pertandingan mewarna kanak-kanak dan cabutan pengunjung bertuah.

Program selama dua hari itu adalah anjuran APMM bersama Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT) Petronas Kimanis yang disertai agensi berunifom seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat PPM Bongawan, Mohd Saidin Haji Ibrahim; Ketua Kampung, Rahman Yusuf; Ketua-ketua jabatan Negeri dan Persekutuan serta penduduk kampung.-Penerangan

RASMI... Mohammad (tengah) memotong riben tanda rasminya jeti nelayan Kg Serbang Bongawan.

RASMI… Mohammad (tengah) memotong riben sempena merasmikan jeti nelayan Kg Serbang Bongawan.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan