Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kenaikan pembayaran tunai Petronas bawa impak merugikan

petronas

KOTA KINABALU: Peningkatan kadar pembayaran tunai Petronas kepada kerajaan akan membawa impak yang merugikan khususnya terhadap projek yang dijalankan hinggalah kepada industri minyak dan gas secara keseluruhannya.

Naib Presiden Pengurusan Petroleum Malaysia Adif Zulkifli berkata, permintaan untuk menambahkan kadar pembayaran tunai hasil minyak dan gas untuk kerajaan bakal membawa pelbagai impak termasuklah kesan segera, jangka pendek dan panjang.

Menurutnya, antara kesan segera yang akan dihadapi adalah kejatuhan jumlah projek yang dilaksanakan berkaitan industri terbabit.

Kesan berkenaan secara tidak langsung jelasnya, memberi impak kepada pengeluaran pada masa akan datang serta mengurangkan pelaburan huluan.

Pada masa sama katanya, keyakinan para pelabur juga semakin menurun selain keselamatan tenaga berada pada tahap yang berisiko.

“Bagi kesan jangka pendek, peluang atau kontrak melibatkan bidang minyak dan gas akan semakin berkurangan seperti aspek perkhidmatan, perkapalan mahu pun penyelenggaraan.

“Selain itu, aktiviti penerokaan juga tidak lagi dapat dijalankan bagi menambah simpanan sedia ada.

“Ini kerana, usaha penjimatan digiatkan bagi memenuhi permintaan untuk mengurangkan jumlah tenaga kerja dalam bidang minyak dan gas,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sempena Taklimat Khas Petronas untuk Media Sabah di sini kelmarin. Turut hadir, Naib presiden Kanan Upstream Malaysia Datuk Mohd Anuar Taib.

Adif berkata, dalam tempoh jangka panjang, industri minyak dan gas di Malaysia akan berdepan dengan kemunduran sekiranya langkah peningkatan pembayaran tunai dilaksanakan.

“Justeru, kerajaan juga akan mendapat hasil yang lebih rendah akibat kurangnya aktiviti berkaitan minyak dan gas untuk menyokong industri itu.

“Seterusnya ia memberi impak terhadap pengurangan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta Pendapatan Negara Kasar (PNK),” katanya.

Beliau berkata, Malaysia menggunakan Kontrak Perkongsingan Pengeluaran  (PSC) terhadap penerokaan dan pengeluaran industri.

Sehubungan itu jelasnya, PSC memberi jaminan dan keutamaan untuk pembayaran tunai terhadap kerajaan persekutuan dan negeri dengan persetujuan pembahagian masing-masing lima peratus di peringkat hasil kasar.

Menurutnya, pembayaran tunai sentiasa menjadi keutamaan bagi Petronas berbanding pembayaran untuk kos pengeluaran.

Selepas pembayaran tunai katanya, 70 peratus daripada hasil yang diperolehi diperuntukkan untuk membayar kos penerokaan, pembangunan dan pengeluaran yang dihasilkan oleh kontraktor bagi PSC.

Justeru, beliau berkata, kadar keuntungan minyak antara baki yang tinggal selepas pembayaran tunai dan kos untuk minyak dan gas dikira.

“Jumlah keuntungan yang tinggal itu akan dibahagikan antara Petronas dan Kontraktor Perkongsian Pengeluaran (PS) selepas cukai dengan pembahagian 50:50.

“Keuntungan yang diperolehi adalah sekitar enam peratus selepas pihak berkenaan membuat pelaburan pendahuluan serta menanggung risiko sebagai rakan kongsi dalam projek yang dijalankan,” jelasnya.

Adif berkata, kadar pembayaran tunai bagi Malaysia juga antara yang tinggi berbanding penanda aras bagi negara pengeluar minyak dan gas yang lain.

Sejak Petronas memulakan operasi di negeri ini katanya, pelbagai manfaat diperolehi rakyat Sabah khususnya dalam bidang pembangunan kerjaya, perniagaan dan juga pendidikan.

“Industri minyak dan gas antara bidang berkemahiran tinggi yang memerlukan tenaga kerja berkelayakan.

“Buat masa sekarang, seramai 1,643 pekerja Petronas adalah dari Sabah yang mana 75 peratus bekerja di negeri ini, manakala 25 peratus lagi bertugas di kawasan lain bagi operasi Petronas seperti di Sudan, Terengganu dan Johor.

“Ini bermaksud banyak peluang diberikan kepada pekerja dari Sabah di kawasan operasi Petronas selain di kawasan Sabah,” katanya.

Beliau berkata, dalam bidang kontrak dan perkhidmatan, sebanyak 291 buah syarikat dari Sabah mendaftar dan berlesen dengan Petronas.

Syarikat-syarikat berkenaan katanya, bergantung kepada kategori perkhidmatan dan produk untuk menyertai tender terbuka yang disediakan pihaknya.

Daripada jumlah syarikat itu, Adif berkata, Petronas menganugerahkan hampir RM1.3 bilion kepada syarikat Sabah.

Katanya, dalam aspek pendidikan, Petronas juga banyak melaksanakan program pembangunan pendidikan khususnya untuk membantu lebih ramai pelajar dari Sabah.

Sejak 10 tahun yang lepas jelasnya, lebih 4,000 orang mendapat manfaat menerusi program tajaan, biasiswa serta latihan yang disediakan oleh Petronas.

Komen


Berita Berkaitan