Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,696

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kemerdekaan Hakiki

1:06pm 01/09/2016 Zakir Sayang Sabah 28 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Misi kemerdekaan kita ialah misi yang pernah dilaungkan oleh Rib’ie bin Amir ketika beliau diutuskan untuk berhadapan dengan Panglima Parsi.

“Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan siapa yang Dia kehendaki dari perhambaan kepada sesama manusia kepada perhambaan hanya sanya kepada Allah, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”

Sekiranya kita telusi dengan insaf dan jelas, kemerdekaan untuk seorang manusia itu hanya sekadar sebuah ilusi. Kerana akhirnya, manusia hanyalah hamba. Asalnya, manusia ialah hamba kepada Allah SWT kerana Allah SWT yang menciptakan manusia. Menghambakan diri ialah fitrah kepada manusia, kerana demikianlah dia diciptakan.

Jika dia tidak memperhambakan diri kepada Allah, menundukkan dirinya kepada apa yang Dia perintahkan, maka manusia akan pergi memperhambakan dirinya kepada perkara yang lain seperti kuasa, harta, nafsu, manusia lain, benda lain dan sebagainya. Dan perhambaan-perhambaan kepada perkara-perkara tersebut, bakal merosakkan manusia. Kerana, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Tahu apa yang baik buat manusia, kerana Dialah pencipta kita, bukan yang lain-lain itu.

Maka, tahap tertinggi kemerdekaan seseorang manusia itu boleh capai, ialah dengan kembali kepada perhambaan yang sebenar, yakni kembali kepada Allah SWT. Ya, dengan memperhambakan diri kepada Allah SWT, seorang manusia itu masih terikat. Terikat dengan peraturan Islam, terikat untuk mentaati Allah SWT, terikat untuk menjauhi apa yang Dia larang. Namun itu semua baik untuknya. Keterikatan yang membuahkan keteraturan dalam kehidupan seorang insan. Keterikatan yang akan memberikannya manfaat dan pelbagai kebaikan.

Ada manusia menganggap, merdeka itu bebas tanpa kongkongan dan menyatakan bahawa Islam tidak memberikan kemerdekaan kepada manusia, hanya mengikat mereka dengan pelbagai peraturan yang melecehkan. Ini fikiran yang silap.

Ambil masa dan lihat sebentar perjalanan alam ini. Sekiranya matahari itu tidak menuruti peraturan yang ditetapkan kepadanya, untuk duduk di tempatnya, melakukan apa yang dia lakukan sekarang, apakah kita akan dapat hidup selesa? Sekiranya bumi ini tidak menuruti peraturan yang ditetapkan kepadanya, untuk berputar pada paksinya, dengan kelajuan sekian dan sekian, untuk mengelilingi matahari pada kelajuan sekian dan sekian, apakah kita akan mampu menikmati kehidupan sekarang? Dan begitulah seluruh ekosistem yang terwujud, yang kita lihat berjalan dalam keadaan ‘auto-pilot’ ini. Jika semuanya berbuat sesuka hati, tanpa peraturan, apakah dunia ini akan berfungsi dengan baik untuk dihuni dan diduduki oleh manusia?

Fikir perkara tersebut dengan mendalam, supaya kita dapat memahami akan mengapa saya menyatakan bahawa kemerdekaan tertinggi yang dapat dicapai oleh seorang manusia itu, ialah dengan memperhambakan dirinya kepada Allah SWT, pencipta kepada manusia, Tuhan sekalian alam!

Sama-samalah kita mengambil iktibar akan hakikat ini, sebelum kita membicarakan kemerdekaan watan. Kerana, watan kita hanya merdeka daripada penjajahan fizikal. Tiada pihak asing, secara fizikal, sedang menjajahi negara kita. Namun, rakan-rakan yang dimuliakan, tanpa kemerdekaan hakiki yang kita bincangkan panjang lebar di atas, hakikatnya watan kita akan masih terjajah dan terus terjajah, tinggal secara tidak langsung sahaja.

Terjajah dengan anasir-anasir buruk. Terjajah dengan sikap yang jelek lagi dangkal. Terjajah dengan korupsi, kezaliman dan kerosakan-kerosakan. Sama ada itu semua hasil usaha daripada pihak luar yang dengki dan berniat jahat, atau bertitik tolak daripada kebodohan diri dan tipuan hawa nafsu. Dan ini semua masih berlaku di negara yang kita cintai ini. Tinggal sama ada kita mahu mengakuinya atau tidak sahaja.

Akhirnya rakan-rakan, yang bakal memerdekakan kita ialah Allah SWT. Yakni dengan kita kembali tunduk kepadaNya. Mentaati perintahNya. Menjauhi laranganNya.

Itulah, kemerdekaan yang sebenar-benarnya.

Muhasabah.

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Hilal Asyraf)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan