Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,727

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kementerian Pertahanan Pertimbang Tambah ‘Sea Basing’ Di Perairan Sabah

10:32pm 21/11/2015 Pak Roshan 223 views Mutakhir,Nasional

sea-basing

ALOR SETAR : Kementerian Pertahanan akan mempertimbangkan untuk menambah ‘Sea Basing’ atau pangkalan laut di Pantai Timur Sabah bagi memperketat kawalan di perairan itu, ekoran pembunuhan rakyat Malaysia yang diculik oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Mohd Johari Baharum berkata ketika ini terdapat dua pangkalan laut yang telahpun beroperasi di Sabah dan pihaknya akan menambah dari semasa ke semasa pangkalan tersebut setelah mengenal pasti lokasi yang sesuai.

Ciri-ciri yang ada pada pangkalan laut, pendekatan pertama dibuat di dunia, dilihat mampu membantu pihak keselamatan melakukan pemantauan di perairan Sabah, sekaligus mengurangkan jenayah rentas sempadan di perairan itu, katanya kepada pemberita selepas prapelancaran pidato Piala Presiden UMNO Malaysia di sini Sabtu.

Pangkalan laut adalah inisiatif baharu menggunakan pelantar minyak sebagai pangkalan hadapan untuk menguatkuasakan pertahanan pantai timur Sabah.

Dua pangkalan laut yang beroperasi sejak Mei lepas ialah Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah di perairan Semporna iaitu jenis platform statik menggunakan struktur pelantar minyak terpakai dan Pangkalan Laut Tun Azizan yang menggunakan kapal kargo terpakai.

“Pangkalan laut ini dilengkapi sistem radar. Misalnya ada kejadian baru-baru ini kita dapat selamatkan kejadian culik, jadi kita boleh pintas dengan cepat berbanding duduk di darat,” kata Johari.

Justeru, beliau berkata sama ada di laut atau pun di darat, pemantauan ketat perlu dilakukan pihak berkuasa selain merekodkan keluar masuk rakyat Malaysia dan Filipina di sempadan.

“Tak boleh bagi alasan adik-beradik, maknanya di sempadan itu pun kita kena tunjuk pasport, satu Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin CIQ kena buat di tempat tertentu dan mereka kena melalui ‘check point’ tertentu,” katanya.

Bernard Then, 39, seorang jurutera elektrik dari Sarawak, dipenggal kepalanya kira-kira 4 petang Rabu lalu di kawasan terpencil dipercayai kubu kuat Abu Sayyaf di pulau Jolo di wilayah Sulu, kira-kira 1,400km selatan Manila.

Then dan seorang wanita, Thien Nyuk Fun, 50, diculik empat lelaki bersenjata, yang menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan pada 7.45 malam pada 14 Mei lepas.

Bagaimanapun, pada 8 Nov, Thien, pengurus restoran itu, dibebaskan oleh penculiknya berikutan rundingan antara pihak berkuasa Malaysia dan penculiknya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan