Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kembali ke Sabah untuk berbakti

pelajarsabah

KOTA KINABALU: Semua pelajar yang menerima biasiswa Kumpulan Yayasan Sabah serta berjaya dalam bidang masing-masing dinasihatkan untuk pulang dan menabur khidmat bakti di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, hal ini kerana kepakaran mereka dalam sesuatu bidang itu amat diperlukan dalam usaha membantu memacu pembangunan negeri ke tahap yang lebih tinggi menjelang wawasan 2020.

“Kita amat memerlukan mereka terutama dari segi kepakaran dalam bidang-bidang tertentu.

“Mereka dinasihatkan supaya pulang dan berkhidmat di negeri ini sekali gus membantu menjayakan transformasi ekonomi yang dilaksanakan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) ke-25 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Radin Malleh dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad.

Pada majlis itu sebanyak 25 anak jati negeri ini yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima anugerah masing-masing.

Musa yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, kerajaan negeri akan terus mengambil langkah proaktif dalam meneroka dan memperluaskan peluang pendidikan pelbagai bidang kepada para pelajar.

Dalam konteks ini katanya, kerajaan negeri menerusi Kumpulan Yayasan Sabah akan meneruskan penajaan anak-anak tempatan negeri ini untuk mengikuti kursus-kursus perubatan, kejururawatan, bioteknologi dan agroteknologi.

“Kerajaan menyedari bahawa untuk merealisasikan matlamat hala tuju negeri menerusi Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan agenda pembangunan lain, kita memerlukan modal insan berilmu, berkualiti dan berkemahiran.

“Namun, kita masih mengalami kekurangan tenaga mahir, teknokrat dan profesional dalam sektor-sektor penting serta strategik bagi memacu pembangunan negeri ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Oleh itu kata beliau, kerajaan negeri melalui Kumpulan Yayasan Sabah juga akan membuat kajian khas meneliti kursus-kursus yang mendapat permintaan tinggi di pasaran kerjaya semasa.

Komen


Berita Berkaitan