Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KEM PGA BELURAN DIJANGKA MULA DIBINA TAHUN DEPAN

ruji

BELURAN, 16 Feb : Projek pembinaan kem Pasukan Gerakan Am (PGA)  Beluran dijangka bermula awal tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Ruji Ubi.

Ruji berkata pihaknya sudah mengenal pasti tapak tanah untuk tujuan itu dan kini dalam proses rundingan untuk pemerolehan tanah berkenaan.

“Mengikut perancangan, projek ini dijangka siap menjelang 2018,” katanya selepas melawat tapak tanah untuk pembinaan kem PGA, berdekatan pekan Beluran, hari ini.

Ruji berkata projek kem PGA itu membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan persekutuan untuk memantapkan lagi kawalan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), termasuk di Beluran.

Perdana Menteri dalam Bajet 2015 lalu mengumumkan peruntukan RM660 juta untuk ESSCom, merangkumi penambahan satu batalion PGA Polis Diraja Malaysia dan satu batalion Tentera Darat dengan 1,280 anggota baharu yang diluluskan serta membina dua kem di ESSZone iaitu Kem Batalion 20 PGA di Beluran dan Kem Angkatan Tentera Malaysia di Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah.

Sementara itu, berucap pada majlis pertemuan ESSCom dengan para pemimpin persatuan belia di pejabat Daerah Beluran, Ruji berkata ESSCom komited untuk menjayakan visi dan misi kerajaan untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah, khususnya dalam ESSZone.

Beliau berkata ini termasuk isu yang membabitkan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ruji berkata sepanjang Januari tahun ini 2,579 orang dipercayai PATI ditahan dalam Operasi Bersepadu Khas yang diterajui ESSCom di tiga daerah di ESSZone iaitu di pusat bandar Tawau, Semporna dan Lahad Datu.

“Daripada jumlah itu, 1,647 adalah lelaki manakala selebihnya wanita.

Kesemua PATI diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk pemeriksaan dan seterusnya urusan penghantaran pulang ke negara asal mereka,” katanya. Ruji berkata operasi bersepadu itu merupakan sebahagian daripada langkah drastik yang diambil kerajaan susulan pengumuman Laporan Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu PATI di Sabah.

Beliau meminta para belia supaya sentiasa bekerjasama dengan ESSCom terutama dalam melaporkan kehadiran warga PATI di kawasan mereka atau kehadiran orang yang meragukan, terutama penjenayah rentas sempadan.

Turut hadir pada majlis pertemuan anjuran komponen Awam ESSCom itu Komander ESSCom DCP Datuk Abd Rashid Harun, Pengarah Bahagian Keurusetiaan ESSCom Newmond Tibin dan Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Beluran Abdul Rahman Talipudin. — BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan