Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,798

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kem Baharu PGA Dijangka Dibina Di Kunak Tahun Depan

7:45pm 23/08/2016 Pak Roshan 1506 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

pga

KOTA KINABALU : Sebuah lagi kem Pasukan Gerakan Am (PGA) merangkumi penambahan satu batalion PGA dijangka dibina di Kunak tahun depan, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman.

Beliau berkata dengan pembinaan kem berkenaan, Sabah akan mempunyai enam batalion, dan batalion baharu yang akan ditempatkan di Kunak itu, akan dikenali sebagai Batalion 21 PGA.

“Dengan penambahan batalion baharu itu, kita cadang menjadikan dua briged PGA di Sabah iaitu Briged PGA Timur dan Utara. Setiap briged mempunyai tiga batalion yang akan memantapkan lagi sistem penugasan PGA di negeri ini.

“Kelulusan membina kem PGA di Kunak telah diluluskan. Tetapi ada sedikit kekangan dari segi kewangan…namun kita jangkakan kem itu akan mula dibina tahun depan,” katanya selepas menyampaikan amanat kepada anggota PGA sempena lawatan kerja beliau di Ibu Pejabat PGA Sabah, Kinarut, dekat sini hari ini.

Sabah kini mempunyai lima batalion – Batalion 14 PGA di Tawau, Batalion 15 PGA Sandakan, Batalion 16 PGA Kota Kinabalu, Batalion 17 PGA Lahad Datu dan Batalion 20 PGA Beluran.

Mengenai lawatan kerjanya ke Sabah, Muhammad Sabtu berkata ia bertujuan untuk meninjau segala perjalanan penugasan PGA di Sabah.

“Saya diberi taklimat mengenai perjalanan penugasan mereka (PGA Sabah) dan kita berpuas hati dengan kemampuan anggota yang ada. Namun ada beberapa kekangan termasuk masalah aset seperti bot rosak dan tidak boleh digunakan.

“Masalah itu (kerosakan bot), kita akan bawa ke peringkat Bukit Aman dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) untuk tindakan lanjut. Bot sangat penting dan ia nadi untuk kita menjalankan operasi khususnya di perairan Sabah,” katanya.

Selain itu, beliau berkata lawatannya ke Sabah bertujuan untuk memberi taklimat mengenai persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kita akan membuat persiapan awal untuk menghadapi pilihan raya umum, terutamanya persediaan dari segi kemudahan logistik,” katanya.

Muhammad Sabtu berkata beliau akan meneruskan lawatan kerja di Sabah, esok, dengan melawat pos kawalan di beberapa pulau di perairan pantai timur Sabah, termasuk di Tawau dan Semporna.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan