Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Keluarga Miskin Tegar Dapat 20kg Beras Setiap Bulan

5:27pm 28/01/2016 Pak Roshan 64 views Mutakhir,Nasional

beras

PUTRAJAYA – Setiap keluarga miskin tegar yang berdaftar akan dibekalkan dengan 20 kilogram beras setiap bulan di bawah program MyBeras sehingga Disember 2016, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada langkah Pengubahsuaian Bajet 2016 yang diperkenalkan bagi mengurangkan bebanan hidup keluarga miskin.

“Kerajaan amat prihatin kepada golongan rakyat yang terkesan akibat kenaikan kos sara hidup terutama golongan miskin tegar,” katanya ketika membentangkan pengubahsuaian bajet itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Khamis.

Selain itu, bagi mengurangkan kos harga barang keperluan harian rakyat, kerajaan akan meliberalisasikan kawalan kuota import (AP) bagi lapan produk pertanian terpilih untuk tempoh sementara bagi memastikan bekalan yang konsisten.

Menurutnya, produk pertanian itu termasuk biji kopi mentah, daging kerbau, lembu dan kambing.

Najib berkata pada masa sama, syarat pematuhan kualiti dan keselamatan barangan import akan terus diutamakan.

Beliau seterusnya berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membuka pasar belian terus hasil pertanian atau ‘MyFarm Outlet’ untuk menjual barangan seperti ikan, ayam, daging, sayur dan buah-buahan dengan harga jualan lima hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

“Buat permulaan, ia akan dibuka di Presint 7, Putrajaya pada bulan Mac dan akan diperluas ke 10 lokasi di pusat bandar lain seluruh negara pada tahun ini juga,” katanya.

Bagi memastikan rakyat menikmati harga barang berpatutan, Najib berkata beliau telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk mengenal pasti lebih banyak kedai jualan harga berpatutan seperti hypermarket asing dan tempatan.

“Jadinya, jumlah Kedai Harga Patut akan ditingkatkan daripada 640 buah, kepada 1,000 kedai kesemuanya pada tahun ini,” katanya.

Dalam waktu sama, Najib mahu KPDNKK mempertingkat penguatkuasaan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas peniaga yang tidak beretika serta mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlipat ganda.

Di samping itu, bagi terus membela untung nasib para pesawah serta meningkatkan pengeluaran padi, kerajaan akan menyediakan tambahan tunai RM50 bagi setiap satu tan metrik padi bersih sebagai insentif input pengeluaran padi.

“Pada masa sama, kerajaan akan menambah baik pelaksanaan pemutuan sebenar padi melalui sistem penggredan standard,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan