Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kekurangan Hutan Paksa Orangutan Duduki Ladang Sawit

orangutan2

SANDAKAN: Satu kajian di pantai timur Sabah menunjukkan orangutan di Kinabatangan terpaksa tinggal di ladang sawit apabila mereka bergerak dari satu kawasan hutan ke satu kawasan lain.

“Dapatan ini mempunyai implikasi jangka panjang terhadap industri sawit serta mereka yang terlibat dengan tugas pemuliharaan,” kata Dr Marc Ancrenaz, pengarang utama hasil kajian itu yang tersiar dalam ‘Oryx’, jurnal pemuliharaan antarabangsa.

Kajian ini dijalankan pertubuhan bukan kerajaan berasaskan penyelidikan HUTAN – Program Pemuliharaan Orangutan Kinabatangan (KOCP) dan Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Ia bermula pada 2008 dengan melibatkan kaji selidik dari udara, diikuti kaji selidik dan temu bual selama bertahun-tahun dengan pekerja ladang sawit untuk mengetahui punca kemerosotan jumlah orangutan di kawasan hutan Kinabatangan.

“Untuk mengetahu ke mana perginya orangutan ini, kami melihat ke luar kawasan hutan dan apa yang kami dapati amat mengejutkan kami,” kata Ancrenaz, yang juga pengarah saintifik HUTAN-KOCP dalam kenyataan pada Isnin.

Ancrenaz berkata para penyelidik mendapati orangutan berlindung di kawasan ladang sawit, dalam kumpulan kecil pokok atau malah di atas pokok tunggal.

“Orangutan tidak boleh menyesuaikan diri dengan ladang sawit dan hanya menggunakan kawasan itu sebelum mencari kawasan hutan lain. Ini bermakna industri sawit kini perlu memainkan peranan penting untuk menjamin kelangsungan hidup jangka panjang populasi orangutan di Kinabatangan dan tanah pertanian lain di Sabah,” katanya.

Kajian itu juga mendapati orangutan hanya menggunakan ladang sawit untuk berlindung apabila mereka tidak dapat pergi ke kawasan hutan semula jadi.

“Ketika meredah ladang sawit, haiwan ini menyokong diet mereka dengan memakan buah sawit masak.

 

“Bagaimanapun, kita perlu faham bahawa ini bukan bererti orangutan boleh hidup di ladang sawit, sama seperti manusia yang tidak boleh terus hidup hanya dengan memakan lobak merah atau buah zaitun semata-mata,” katanya.

Kajian itu mendapati orangutan memerlukan kepelbagaian dalam diet mereka dan lebih 300 spesies tumbuh-tumbuhan direkodkan menjadi sumber makanan haiwan ini.

“Oleh kerana orangutan adalah spesies dilindungi di bawah undang-undang Sabah, maka ladang sawit mempunyai tanggungjawab dari segi undang-undang untuk melindungi laluan mereka.

“Adalah salah di sisi undang-undang membunuh, mencederakan atau mengganggu orangutan.

“Oleh itu, landskap ladang sawit perlu disesuaikan dengan keperluan orangutan untuk menjamin kelangsungan hidup mereka di Kinabatangan, sambil memelihara pelancongan di kawasan itu.

“Perancangan mengenai penggunaan tanah perlu diubah agar ia boleh menghubungkan kembali kawasan hutan di Hilir Kinabatangan.

“Jika ini tidak dilakukan, rakyat Sabah akan menghadapi kemungkinan melihat populasi orangutan di Kinabatangan akan terus berkurangan dan akhirnya pupus,” kata pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Datuk Dr Laurentius Ambu.

Kajian bertajuk ‘Of Pongo, palms and perceptions: A multi disciplinary assessment of Bornean orangutans Pongo pygmaeus in an oil palm context’ itu dilakukan Marc Ancrenaz, Felicity Oram, Laurentius Ambu, Isabelle Lackman, Eddie Ahmad, Hamisah Elahan, Harjinder Kler, Nicola K. Abram dan Erik Meijaard.

Komen


Berita Berkaitan