Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kekalkan rekod pengurusan kewangan terbaik: Musa

Musa Aman (kiri) menerima cnedera kenangan daripada seorang wakil kontinjen. - foto JKM
Musa Aman (kiri) menerima cnedera kenangan daripada seorang wakil kontinjen. – foto JKM

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mahu Kementerian Kewangan terus mengekalkan rekod dan prestasi terbaik dalam pengurusan kewangan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri menegaskan, usaha itu penting agar kementerian berkenaan menjadi contoh terbaik kepada jabatan dan agensi lain untuk menambahbaik pengurusan kewangan masing-masing.

“Kejayaan Kementerian Kewangan mendapat penarafan empat bintang perlu dikekalkan bagi membolehkan kementerian ini terus menjadi contoh kepada jabatan-jabatan atau agensi kerajaan yang lain. Saya juga mahu agar lebih banyak kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri mendapat penarafan empat bintang dalam pengurusan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sukan Karnival Dwi-Tahunan Kementerian Kewangan bersama jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kewangan Kesembilan di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Micheal Asang dan Datuk Ramlee Marahaban’ Pengerusi Yayasan Bumiputera Sabah, Datuk John Ambrose; Ketua Pegawai Eksekutif Warisan Harta Sabah, Datuk Abu Bakar Abas; Ketua Pegwai Eksekutif Sabah Development Bank Berhad, Datuk Peter Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Credit Corporation, Datuk Vencent Pung. Karnival itu disertai 12 agensi di bawah Kementerian Kewangan negeri.

Dalam ucapan Bajet 2015, Musa berkata, pada 2012, di bawah penarafan Indeks Akauntabiliti oleh Ketua Audit Negara, sebanyak sembilan buah kementerian/jabatan/ badan berkanun dan agensi negeri berjaya mencapai penarafan empat bintang iaitu tahap tertinggi.

Pada 2013, jumlah kementerian/jabatan/badan berkanun dan agensi negeri berjaya mendapat penarafan empat bintang meningkat kepada 20 buah, sekaligus menunjukkan pencapaian yang amat membanggakan kerana bukan sahaja bilangan yang mendapat penarafan empat bintang bertambah lebih dua kali ganda tetapi menjadikan Sabah sebagai negeri yang mempunyai pengurusan kewangan yang terbaik dan terunggul di Malaysia untuk dua tahun berturut-turut.

Mengenai sukan karnival itu, Musa berkata, bersukan bukan sahaja platform untuk melahirkan warga yang sihat, cergas dan proaktif, malah dapat memupuk semangat kerjasama dan berpasukan dalam sesebuah organisasi.

Beliau percaya semangat yang dicetuskan menerusi kejohanan ini berupaya menjadikan warga jabatan ini lebih aktif, ceria dan sihat dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan seterusnya mencapai visi dan misi jabatan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Kita memerlukan penjawat awam yang bukan sahaja berpengetahuan dan terlatih tetapi juga cergas, prihatin dan pada masa yang sama sentiasa fokus kepada bidang tugas yang diamanahkan,” ujarnya. – oleh Monica Gidong / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan