Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,765

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kekalkan perpaduan kaum, jauhi anasir negatif

9:32pm 15/06/2016 Elezebeth Esther Onjining 60 views Tempatan
Musa menyampaikan sumbangan kepada anak- anak yatim sempena Majlis Berbuka Puasa UMNO Zon 2 bersama Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah di Perkarangan Masjid Daerah Putatan, disini, hari ini

Musa menyampaikan sumbangan kepada anak- anak yatim sempena Majlis Berbuka Puasa UMNO Zon 2 bersama Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah di Perkarangan Masjid Daerah Putatan, disini, hari ini.

PUTATAN- Masyarakat di negeri ini perlu menjauhi anasir- anasir negatif yang akan memecahbelahkan perpaduan sedia ada di negeri ini, kata Datuk Seri Panglima Musa Hj. Aman.

Beliau yang merupakan Ketua Menteri Sabah berkata rakyat negeri ini perlu mempertahankan keharmonian dan perpaduan yang sekian lama telah wujud.

” Walaupun, masyarakat negeri ini terdiri daripada pelbagai suku kaum dan agama, tetapi kita boleh duduk dan berbuka puasa bersama mereka yang tidak seagama dengan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Berbuka Puasa UMNO Zon 2 bersama Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah di Perkarangan Masjid Daerah Putatan, disini, hari ini.

Katanya, masyarakat perlu saling memahami dan hormat- menghormati antara satu sama lain.

” Ini merupakan salah satu cara kita khususnya di Sabah untuk meneruskan keharmonian beragama dan berbudaya supaya ia menjadi satu lambang perpaduan di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata majlis berbuka puasa itu dapat memberi ruang dan peluang kepada para pemimpin UMNO untuk bertemu di peringkat akar umbi bahagian- bahagian dan zon yang ditetapkan.

” Inilah cara kita (UMNO) untuk memperjuangkan bulan yang penuh barakah ini, supaya kita dapat berjumpa dan bersua dengan kepimpinan dan ahli- ahli UMNO di seluruh negeri Sabah,”katanya.

Dalam majlis tersebut, Musa turut menyampaikan elaun sara hidup kepada 1140 nelayan daripada Persatuan Nelayan Kawasan Kota Kinabalu, dan sumbangan kepada warga emas, anak- anak yatim serta fakir miskin.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Hajiji Haji Noor, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Sapawi Ahmad dan Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr. Marcus Mojigoh. – Elezebeth Esther/ SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan