Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kekalkan Momentum Ramadan Anda

Gambar Hiasan

 

Belum berkumandang lagi azan Isyak, sudah ramai yang berpusu-pusu bergegas ke masjid. Tidak kurang pula yang setia menanti masuknya waktu solat di tikar sejadah.

Mulut terkumat kamit membaca surat cinta daripada tuhan menerusi naskah Al-Quran yang dipegang di tangan.

Di sudut belakang tiang pula, ada sahaja duit dimasukkan ke dalam tabung masjid. Beberapa talam kuih tersedia di ruangan makan sebagai makanan moreh. Sedekah daripada para pengunjung rumah Allah pada malam itu.

Masing-masing dengan cara tersendiri. Namun, tujuannya adalah sama. Ingin diangkat darjat disisi Tuhan.

#1 – Kem Tarbiyyah

Suasana indah, harmoni dan penuh kebaikan seperti itu tidak asing lagi berlaku ketika memasuki bulan mulia, Ramadan. Di saat Allah membuka seluas-luasnya pintu pengampunan dan dibukakan langit untuk mengangkat doa-doa hambaNya.

Alhamdulillah, jutaan kesyukuran kepada Ilahi kerana kita terpilih untuk berada di bulan barakah ini. Ajaibnya bulan Ramadan apabila ada golongan yang mula membuka naskah Al-Quran. Kemudian, mentadabbur maknanya sedangkan di bulan sebelumnya, Al-Quran sekadar perhiasan di almari kaca.

Ajaibnya juga ketika memasuki bulan Ramadan apabila ada golongan yang biasa solatnya ‘on’ ‘off’, muncul sosok tubuhnya di masjid untuk berjemaah. Merebut 27 tingkat darjat disisi Tuhan dengan gandaan pahala. Rasulullah SAW bersabda;

“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah SWT berfirman (ertinya), “Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya…”Riwayat Bukhari & Muslim

Peluang menghirup udara bulan berkat sudah tersedia. Yang kita perangi di bulan syaitan diikat ini adalah nafsu kita sendiri. Persoalannya kuatkah kita menundukkan nafsu?

Itulah simboliknya Ramadan sebagai bulan Tarbiyyah. Semua berebut untuk mengejar ganjaran yang cukup mahal dijanjikan Tuhan. Menyingkirkan sebanyak mungkin sikap mazmumah dalam diri.

Segala amal ibadah digandakan pahala. Maka berbondong-bondonglah manusia merebut peluang yang ada.

#2 – Mencapai ‘Goals’ Ramadan

Suasana di bulan mulia Ramadan cukup terkesan sekali. Siang harinya menahan lapar dahaga, menjaga lisan dan anggota. Menambah amal dan doa. Bermuhasabah memohon keampuanan. Solat sunat juga digandakan.

Ringan sekali dirasakan tubuh untuk terus tegak mengangkat takbir solat sunat terawih, rawatib, tahajjud serta witir.

Mujahadah diutamakan dan penat lelah serta lenguh sana sini diketepikan. Semuanya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mencapai ‘goals’ Ramadan iaitu nilai takwa di sisi Allah.

Justeru sangatlah wajar untuk setiap muslim mengukur kualiti ibadahnya sebagai kayu ukur paling asas bagi mencapai target tersebut. Teringat saya kata-kata Ubai apabila ditanyakan oleh Sayidina Umar tentang takwa. Ubai berkata;

“Takwa itu seperti seorang yang melalui jalan penuh duri.”

Maksudnya sangat berhati-hati supaya tidak terpijak duri. Begitulah takwa, segala tindak tanduk dikawal bagi memastikan diri tidak jatuh ke gaung maksiat dan murka Allah.

Menjaga serba-serbi dan menjadi seorang yang lebih ‘baik’ dan mengharapkan ibadah puasa dan amalan sunat mereka diterima Allah.

Sudah sewajarnya keluar sahaja daripada Kem Tarbiyah ini, umat Islam sudah mencapai takwa. Dia akan lebih berjaga-jaga ketika bercakap, makan, bertindak, berfikir dan bertindak supaya sentiasa berada dalam landasan keredaan Allah.

#3 – Istiqamah

Imam Masjid Green Lane, England, Syeikh Dr. Ahsan Hanif dalam satu ceramahnya berkata;

“Pada Ramadan, kita bertungkus lumus beribadah, membaca al-Quran, bersedekah dan sebagainya, walaupun Ramadan telah pergi, kita perlu mengekalkan segala amalan tersebut biarpun tidak sebanyak pada bulan tersebut.”

Namun begitu, mampukah semangat ini bertahan atau akan hilang dengan berakhirnya Ramadan? Jawapannya pada diri kita sendiri, bergantung kepada tahap keimanan individu. Yang pasti, Allah SWT memerintahkan manusia supaya teguh dan istiqamah di atas jalan petunjuk dan hidayah-Nya.

Benar, buktikan kepada diri bahawa kita bukan hamba Ramadan tetapi hamba Allah yang sentiasa taat kepada perintahnya setiap masa.

Disiplin diri perlu dikekalkan dan ditingkatkan. Sebagaimana kuatnya kaki berdiri menunaikan solat sunat terawih 8 hingga 21 rakaat, momentum itulah yang kita bawa ke bulan seterusnya.

Solat sunat lain seperti taubat, hajat dan witir adalah satu inisiatif kita mengekalkan momentum Ramadan.

Sikap bangun awal untuk bersahur tatkala Ramadan boleh dikekalkan dengan bangun awal bagi bertahajud ketika di bulan seterusnya.

Bahkan, sikap berjaga jaga kita dalam menunaikan solat di awal waktu dan berjemaah, bersedekah, membaca Al-Quran sungguh indah jika kita mampu kekalkannya walaupun telah keluar daripada bulan Kem Tarbiyyah.

Ingatlah pada kesungguhan dan kekusyukan kita ketika beribadat di bulan Ramadan. Ia sebagai tiket penyuntik semangat di luar bulan Ramadan. Sekaligus menjadi bekal bateri jiwa untuk terus merasa dekat dengan nilai takwa dan redha Allah.

Biar kita keluar daripada Kem Tarbiyyah, menjadi seorang yang benar-benar ditarbiyyah. Mendapat reda dan ditingkatkan darjat disisinya sehingga berjumpa ke Ramadan yang seterusnya jika diizinkan Ilahi.

Kekalkanlah momentum Ramadan, mudah mudahan Allah memberkati setiap usaha kita dalam mengejar redaNya.

(Sumber: Tazkirah.net oleh Syazana Syamsul)

Komen


Berita Berkaitan