Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KEJAYAAN PAKATAN HARAPAN PRU14 LALU ATAS KEHENDAK RAKYAT

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin (tengah) memotong Kek Hari Malaysia 2018 bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta kenamaan pada Sambutan Hari Malaysia 2018 di Padang Merdeka Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kejayaan Pakatan Harapan yang tidak dijangka dalam Pilhanraya Umum ke-14 merupakan kehendak rakyat dan padah bagi sesiapa yang membelakangkan rakyat, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Walaupun kita sudah menyambut Hari Malaysia berulang kali, namun kali ini ia agak berbeza kerana buat pertama kalinya, ia disambut dengan Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh gabungan parti politik yang berlainan,” katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Malaysia ke-55 di Padang Merdeka tadi.

Beliau berkata, Pakatan Harapan mengganti Barisan Nasional yang sebelum itu Perikatan, yang telah memerintah Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia sejak Merdeka lagi, iaitu selama 61 tahun.

“Perubahan ini bukan sesuatu yang kecil kerana sebelum pilihanraya ke-14, penganalisis dan pemerhati politik rata-rata mengatakan adalah sukar, malahan ada yang mengatakan adalah mustahil, “impossible” untuk menjatuhkan Kerajaan yang sudah bertapak sejak 61 tahun yang
lalu,” katanya.

“Alhamdullilah, Pakatan Harapan berjaya walaupun tidak dijangka. Kejayaan ini adalah kehendak rakyat adalah sejenis “people’s power”- kuasa rakyat. Barang siapa yang membelakangkan rakyat akan terima nasib yang sama. Pakatan Harapan dan Parti Warisan harus memahami hakikat ini,” katanya.

Dr Mahathir berkata, perubahan ini telah membawa kepada penggunaan slogan Malaysia Baharu secara meluas.

“Secara langsung harapan rakyat dan pemerintah berkait rapat – kita sudah tidak mahu cara pemerintahan kleptokrasi yang menolak demokrasi dan tidak berpandu kepada undang-undang.

“Antara perkara pokok yang kita mahu ubah bersama-sama adalah budaya rasuah yang
begitu menular dikalangan pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional, dan jentera Kerajaan dibawah mereka.

“Kepercayaan bahawa “Cash is King” – Duit adalah Raja – jelas tidak benar. Tolak sahajalah slogan ini dan kembali kepada Bersih, Cekap dan Amanah,” katanya.

Dr Mahathir berkata, PRU ke-14 sebenarnya membuktikan keupayaan negara untuk bangun setelah terpesong dari landasan yang telah dibina bertahun-tahun yang lalu.

“Walaupun kita telah terpesong amat jauh beberapa tahun kebelakangan ini dan kerosakan akibatnya amat besar dan susah untuk dibaiki, kita tidak ada pilihan melainkan terus berusaha memulih keadaan.

“Mahu tidak mahu kita perlu membetulkan kerosakan tersebut kerana jika kita mengalah dan membiarkan ia berterusan, nilai kita sebagai sebuah Negara yang bebas dan berdaulat akan hilang. Ini bermakna kita telah membenarkan mereka yang telah mengkhianati Negara kita menang. Ini tidak boleh kita benarkan,” katanya lagi.

Jika pada tahun 1957 kita memerdekakan Semenanjung Tanah Melayu dari penjajahan, bergabung pada tahun 1963 untuk memperkukuhkan kedaulatan kita, beliau sifatkan 2018 sebagai mencapai kemerdekaan dan penggabungan kali ke-2 dari zaman kleptokrasi kuku-besi.

“Seperti mana tahun 1957 dan 1963 telah meletak tanggungjawab yang besar kepada kita, tahun 2018 turut meletak tanggungjawab yang sama jika tidak lebih besar di bahu kita.

“Rakyat dan pemimpin tidak takut dengan cabaran ini. Kita telah lalui cabaran 1957 dan 1963 dengan jayanya. Dan kita tetap berjaya menangani cabaran 2018, InsyaAllah. God Willing.

“Ini negara kita. Kitalah yang akan menentukan nasib kita. Tidak ada orang lain yang boleh menentukan nasib kita. Bangunlah dan berjuanglah untuk mencapai matlamat negara tercinta ini.

“Selamat Hari Malaysia. Sayangilah Malaysiaku kerana Malaysia Kita Punya,” katanya.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan