Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Keindahan dan keunikan Pekan Kundasang

8:17am 18/08/2016 Elezebeth Esther Onjining 985 views Pelancongan,Rencana,Tempatan
Pemandangan daripada rumah penginapan Walai Tokou

Pemandangan daripada rumah penginapan Walai Tokou

KUNDASANG, Ranau merupakan salah sebuah destinasi pelancongan pilihan bagi para pelancong yang ingin menenangkan minda serta merehatkan badan dari kehidupan bandar yang sibuk dan sesak.

Suasana di kawasan tersebut membolehkan para pengunjung merasai damai dan tenang dengan dikelilingi bukit bukau serta gunung yang serba gagah bagaikan pengawal mengawal seluruh kampung di daerah itu.

Kundasang sememangnya popular dengan keindahan alam semula jadi dan ia menjadi destinasi pilihan pelancong asing untuk melihat keindahan alam dan Gunung Kinabalu yang menjadi kemegahan masyarakat Sabah. Kebanyakan pengunjung turut tidak ketinggalan mencabar diri mereka mendaki gunung yang setinggi 4096 meter itu.

Selain keindahan alam dan suasana tenang, kepelbagaian biologi yang terdapat di lereng gunung turut menjadi tarikan para pengunjung untuk melawati kawasan berkenaan. Sebanyak 5,000 hingga 6,000 jenis flora, 326 spesis burung dan lebih 100 spesis mamalia telah ditemui di gunung itu sekali gus menjadikan Gunung Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

Para pengunjung berpeluang merasai dan mengalami cara hidup penduduk tempatan melalui Rumah Penginapan Walai Tokou. Terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama keluarga angkat mereka seperti memungut hasil hutan, menangkap ikan di sungai, menganyam tikar dan memasak.

Salah seorang pemilik rumah, Juliana Watiman, 60 berkata bahawa beliau telah terlibat dalam bidang perniagaan rumah penginapan sejak enam tahun lalu setelah adik lelakinya memperkenalkan perniagaan itu kepadanya.

Katanya, beliau memulakan perniagaan itu dengan hanya beberapa buah bilik, enam tahun lalu. Tahun demi tahun, kini, Juliana mempunyai dua buah rumah penginapan yang mempunyai 10 buah bilik pelbagai saiz.

“Pengalaman terlibat dalam perniagaan itu sangat berharga dimana saya dapat mengenali pengunjung dari seluruh negara. Saya juga berpeluang memperkenalkan budaya dam tradisi masyarakat tempatan kepada mereka,” katanya

Menurut Juliana, beliau sentiasa memastikan para pengunjung memahami dan mendalami budaya masyarakat tempatan disamping memainkan peranan sebagai keluarga angkat kepada tetamu khususnya para pelajar. Ini termasuklah beberapa perkara asas seperti menyapa dan membuka kasut sebelum masuk ke dalam rumah.

“Terdapat juga beberapa aktiviti lain seperti bersiar-siar dan melihat keindahan alam semula jadi,” ujarnya.

Para pelancong juga boleh mengunjungi Taman Air Panas, Poring yang hanya mengambil masa selama 40 minit dari Kundasang, Spa Ikan Kg Luanti dan Pekan Ranau yang hanya mengambil masa 20 minit perjalanan.

Tambahnya, beliau yakin program rumah penginapan itu akan mempunyai banyak permintaan pada masa hadapan berdasarkan pakej-pakej menarik yang ditawarkan.

“Generasi muda disini telah dilatih bagaimana untuk menyapa dan memberi layanan kepada para pelancong, ini menunjukkan bahawa kami berpengalaman dalam industri pelancongan. Kami tahu akan kemahuan para pengunjung,”katanya.

Juliana bercadang untuk membina lebih banyak rumah penginapan untuk para pelancong dan berharap perniagaannya itu akan lebih berjaya pada masa hadapan. Oleh Elezebeth Esther/SayangSabah

Juliana

Juliana

 

 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan