Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,644

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kedaulatan Sabah Perlu Dipertahankan Setiap Masa, Kata Ahmad Zahid

6:07pm 14/11/2015 Pak Roshan 200 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

zahid

KOTA KINABALU : Bumi dan perairan Sabah perlu dipertahankan setiap masa daripada pencerobohan kuasa asing, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata perkara itu penting demi menjaga kedaulatan dan kepentingan Sabah dan negara dalam pelbagai aspek.

Menurutnya, insiden pencerobohan di Lahad Datu pada Februari 2013 harus menjadi iktibar kepada rakyat agar bersatu menentang pelbagai bentuk pencerobohan.

“Itulah sebabnya saya amat khuatir jika ada kuasa besar yang melihat tuntutan (bagi sesuatu kawasan) berdasarkan kepada sejarah sahaja dan tidak merupakan ahli UNCLOS (Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Laut), tidak mengiktiraf ‘nine-dash line’ (kawasan tuntutan di Laut China Selatan), dan tidak mengiktiraf 200 batu nautika sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) mana-mana negara.

“Kedaulatan perairan negara kita di EEZ mesti dipertahankan. Kita tidak mahu hasil bumi kita dibawa (dirampas) oleh mereka (negara asing),” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-30, di sini Sabtu.

Ahmad Zahid mengingatkan rakyat di Sabah dan juga di Sarawak supaya tidak membiarkan tanah dan perairan di negeri masing-masing tergugat disebabkan faktor ekonomi.

Mengenai isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah, beliau berkata penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat isu itu tidak sia-sia.

“Saya mengesahkan dan memastikan tindakan jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa induk (untuk menangani pengurusan warga asing di Sabah) telah berjaya melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan,” katanya.

Jawatankuasa induk tersebut dipengerusikan oleh Ahmad Zahid bersama-sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, manakala jawatankuasa teknikal dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Timbalan Perdana Menteri berkata beberapa tindakan telah diambil antaranya operasi bersepadu yang telah menyaksikan sebanyak 24,711 PATI telah dihantar pulang ke negara asal mereka dari Januari hingga Oktober tahun ini.

“Sehingga bulan lepas juga, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscomm) telah mengadakan 27 program melibatkan orang awam dalam meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu keselamatan dan pentingnya tanggungjawab semua orang untuk tidak melindungi PATI.

“Dan dalam hal ini, moto Esscom iaitu ‘Tidak ada hari tanpa operasi’ yang mana Esscom hari-hari mengadakan operasi untuk memastikan kedaulatan Sabah terus dipertahankan dan tidak ada penceroboh asing yang boleh masuk ke Sabah ini,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan