Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,701

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kebenaran Masuki Perairan Filipina Mampu Kekang Jenayah Rentas Sempadan – Yahya

yahya

KOTA KINABALU : Kebenaran diberikan kerajaan Filipina untuk memasuki kawasan perairan negara itu bagi memburu penjenayah rentas sempadan termasuk penculikan akan memudahkan tugas anggota keselamatan Malaysia mengekang jenayah seumpama itu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin berkata dengan adanya kerjasama seumpama itu antara kedua-dua negara berjiran, ia akan membantu dalam menambah baik dan mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah.

“Kerjasama ini boleh membantu memperbaiki keadaan. Dahulupun, ketika negara kita menghadapi ancaman komunis, kita dibenarkan, dengan persetujuan pihak negara Thailand ketika itu, mengejar pihak pengganas ke beberapa batu atau kilometer (ke dalam negara Thailand),” katanya.

Kerjasama Malaysia dan Thailand yang berjiran telah banyak membantu dalam menangani ancaman pengganas komunis pada ketika itu, katanya sebagai mengulas keputusan Presiden Filipina Rodrigo Duterte itu yang disampaikan pada pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Putrajaya semalam bersempena lawatan rasmi dua hari presiden itu di Malaysia.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan bantuan daripada Baitulmal negeri kepada golongan asnaf di Kampung Kasuapan, Pulau Gaya, di sini hari ini.

Pada majlis itu, timbalan ketua menteri turut menyerahkan bantuan untuk masjid bagi keperluan dan keselesaan penduduk Islam di pulau itu untuk melaksanakan ibadah.

Mengenai program berkenaan, Yahya yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Sabah berkata beliau turut mengambil kesempatan mengingatkan umat Islam di Pulau Gaya agar terus mengukuhkan perpaduan demi menjamin kekuatan umat Islam.

Katanya sekiranya umat Islam tidak berusaha untuk mengukuhkan perpaduan, mereka akan mudah diperkotak-katikkan pihak tidak bertanggungjawab yang sememangnya menyimpan niat untuk memecah-belahkan umat Islam.

Yahya berkata rakyat beragama Islam perlu bersyukur dengan suasana dalam negara, khususnya Sabah yang aman damai sehingga memudahkan rakyat mencari rezeki tanpa ancaman keselamatan seperti serangan bom dan kebuluran sebagaimana yang berlaku di banyak negara.

Sebelum itu, Yahya bersama-sama umat Islam di kampung berkenaan menunaikan solat Jumaat.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan