Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,734

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kebenaran Filipina, Tanda Positif Tangani Penculikan Di Sabah

6:17pm 11/11/2016 Pak Roshan 319 views Isu Semasa,Mutakhir

esscom-2-600x366

KUNAK : Penduduk di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone) menyifatkan tindakan Filipina membenarkan pasukan keselamatan Malaysia dan Indonesia memasuki perairan negara itu bagi memburu kumpulan penculik sebagai tanda positif menangani penculikan di Sabah.

Seorang penduduk di Kunak, Aslina Ali, 29, dari Kampung Tagasan berkata perkembangan itu bakal membawa fasa baharu pada keselamatan di Sabah.

“Ini satu khabar baik untuk Sabah ketika kerajaan berusaha menangani keselamatan di perairan Esszone yang kerap dicerobohi penjenayah rentas sempadan terutama culik untuk wang tebusan yang kini menyasarkan golongan nelayan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Kawasan Esszone merangkumi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Merudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Bagi Nadiah Wasil, 35, dari Lahad Datu, kebenaran kerajaan Filipina itu amat penting bagi memperkukuhkan kawalan dan menjaga keselamatan penduduk di Esszone.

“Selama ini polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di bawah Esscom bekerja keras mempertahankan kedaulatan negara serta keselamatan rakyat di Sabah dan kebenaran kerajaan Filipina itu mampu membawa impak besar dalam menangani masalah penculikan,” katanya.

Bagi penduduk Semporna, Mahadir Lahadi, 34, lampu hijau yang diberikan kerajaan Filipina perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjamin keselamatan penduduk di kawasan Esszone.

“Perkara ini dapat mengembalikan keyakinan semua orang kepada tahap keselamatan di Esszone. Ketika ini golongan nelayan takut untuk ke laut manakala pelancong yang ingin berkunjung ke Sabah masih gusar dengan ancaman penculikan,” katanya lagi.

Di Tawau, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata selepas ini tiada lagi alasan bagi pasukan keselamatan Malaysia dan Indonesia dalam usaha menumpaskan kegiatan penculikan yang didalangi kumpulan militan Abu Sayyaf.

Katanya, memang menjadi hasrat Menteri Pertahanan Datuk Hishammuddin Tun Hussein untuk meminta kerajaan Filipina memburu dan menangani penjenayah dari selatan Filipina yang sering dapat mengelak daripada ditangkap pasukan keselamatan Malaysia dengan berlindung di perairan negara itu.

Sementara itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata pihaknya turut menyambut baik kebenaran kerajaan Filipina ke arah pelaksanaan operasi memburu penculik merentasi sempadan perairan Filipina.

Bagaimanapun, katanya perkara itu perlu mengikut perincian prosedur operasi standard (SOP) yang dipersetujui Malaysia bersama pihak pertahanan Indonesia dan Filipina.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Filipina membenarkan Malaysia dan Indonesia untuk merentasi sempadan maritim negara tersebut bagi melaksanakan operasi memburu penjenayah menculik untuk tebusan.

Katanya, persetujuan diberikan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dalam pertemuan mereka di Putrajaya.

Najib berkata kesemua menteri pertahanan tiga negara itu akan bertemu di Vientiane, Laos pada 22 Nov ini bagi membincangkan SOP dan aspek perundangan pelaksanaan operasi memburu penjenayah tersebut.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan